
Tiada kuota untuk jumlah visa umrah dikeluarkan kepada umat Islam dari seluruh dunia.
Arab Saudi memansuhkan syarat bagi wanita untuk mengerjakan umrah dan haji ditemani penjaga atau mahram berkuat kuasa serta-merta, setelah merujuk kepada pendapat ulama Maliki dan Syafi’i.
Peraturan baharu itu diumumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, sekali gus menamatkan kontroversi yang berlarutan sama ada mahram diperlukan untuk mengiringi jemaah wanita mengerjakan umrah dan haji.
Pengumuman ini, termasuk yang lain, dibuat pada sidang akhbar yang diadakan di Kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir, menurut agensi berita kerajaan SPA.
Penasihat Perkhidmatan Haji dan Umrah Ahmed Saleh Halabi berkata wanita yang menunaikan haji atau umrah tanpa mahram, ditemani oleh “wanita yang boleh dipercayai atau syarikat yang selamat, berdasarkan pendapat ulama Maliki dan Syafi’i.”
Halabi berkata keputusan ini sesuai dengan fatwa penyeliaan Alazhar AlSharif di Mesir, Abbas Shoman, Mac lalu.
Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengumumkan membenarkan wanita menunaikan umrah tanpa mahram pada Mac lalu.
Bekas penasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Faten Ibrahim Hussein berkata keputusan itu memudahkan wanita yang bergelut mencari mahram di tengah-tengah pelbagai kekangan.
Terdapat ramai wanita yang datang ke Arab Saudi untuk bekerja tanpa mahram, dan tidak ada insiden yang ketara.
Dalam perkembangan berkaitan, Al-Rabiah berkata kos pembesaran Masjidil Haram di Makkah melebihi SR200 bilion (RM249 bilion) dan projek itu akan berterusan.
Memetik laporan Saudi Gazette, beliau turut menegaskan tiada kuota untuk jumlah visa umrah dikeluarkan kepada umat Islam dari seluruh dunia.
“Mana-mana orang Islam yang datang dengan apa-apa jenis visa boleh menunaikan umrah,” katanya.
Al-Rabiah menegaskan mengenai kesungguhan Arab Saudi untuk mengurangkan kos mengerjakan haji dan umrah.
Menteri itu juga merujuk usaha kerajaan berhubung pengenalan dan penggunaan teknologi moden dan pendigitalan perkhidmatan yang disediakan kementerian kepada mereka yang ingin melawat Dua Masjid Suci.
“Ini termasuk menggunakan robot untuk menyediakan beberapa perkhidmatan kepada jemaah serta membangunkan platform Nusk, yang menyediakan banyak kemudahan untuk jemaah dan pengunjung Masjidil Haram. Boleh menempah permit umrah melalui platform dalam tempoh yang singkat, dan selepas itu, visa boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam,” katanya.