Wanita Islam kulit hitam pertama jadi Datuk Bandar Portland Selatan

Deqa Dhalac, 53, menjadi wanita Islam kulit hitam pertama dilantik menjadi Datuk Bandar di sebuah kota kecil di negeri Maine yang dihuni 90 peratur populasi kulit putih Amerika Syarikat (AS).

Beliau dilantik menjadi Datuk Bandar Portland Selatan, bandar keempat terbesar di negeri Maine, pada Selasa.

Ahli Majlis Perbandaran Portland Selatan yang lain – semuanya berkulit putih – sebulat suara mengundi memilih Dhalac, yang datang ke AS pada 1992 selepas perang saudara meletus di Mogadishu, Somalia.

Menurut New American Leaders – kumpulan yang melatih dan menyokong pendatang, pelarian, dan pelbagai calon lain untuk jawatan kerajaan – Dhalac ialah Datuk Bandar Somalia-Amerika yang pertama di AS.

“Sebagai individu kulit hitam, pendatang, dan wanita Islam yang sebelum ini merupakan orang kulit hitam pertama dan Muslim pertama yang dipilih ke Majlis Bandaraya Portland Selatan, Datuk Bandar Dhalac adalah kuasa untuk perubahan positif dalam komunitinya.

“Kami berbangga memilikinya dalam rangkaian pegawai terpilih Amerika Baru dan memandang ke hadapan terhadap semua perkara menakjubkan yang akan beliau capai sebagai Datuk Bandar Portland Selatan,” kata kumpulan itu di Instagram,

Bercakap pada majlis meraikannya, Dhalac berkata: “Orang ramai akan sentiasa mempunyai beberapa jenis kehendak, tetapi kami mahu mengetahui mengenai anda, mendengar anda dan melihat siapa anda.”

Sambil menyatakan bahawa beliau memutuskan untuk menceburi politik menentang dasar Islamofobia bekas Presiden AS Donald Trump, Dhalac berkata dia berharap pemilihannya akan menjadi contoh kepada kumpulan minoriti lain dan generasi baharu di negara itu.

Ketika beliau bertanding untuk pilihan raya Majlis Bandaraya pada 2018, orang ramai takut untuk membuka pintu kepadanya apabila dia mengetuk untuk meminta undi mereka, katanya, sambil menambah ada yang menyangka dia tidak tahu berbahasa Inggeris.

Beliau melahirkan rasa bangga kerana menunjukkan contoh kepada generasi akan datang yang berada dalam kedudukan yang sama seperti sekarang. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR