Wanita Arab Saudi dibenar jadi pemandu teksi, Uber

Kurang empat tahun setelah dibenarkan memandu, kini wanita Arab Saudi diberitahu bahawa mereka boleh memohon untuk mendapatkan lesen menjadi pemandu teksi.

Berita itu diumumkan Jabatan Direktorat Awam Trafik Arab Saudi menerusi akaun Twitternya.

Kenyataan itu berkata wanita Arab Saudi kini boleh memohon ‘lesen teksi awam’ di mana-mana 18 sekolah memandu di seluruh negara itu, termasuk Riyadh, Jeddah, Jazan, Asir, Najran, Jouf, Hail dan Taif.

Kos memohon lesen itu adalah sebanyak SR200, kata jabatan itu.

Artis, Latifah Al-Shalhoub mengalu-alukan pengumuman itu sambil menegaskan beliau tidak selesa menaiki teksi yang dipandu lelaki.

“Sebagai wanita, saya sentiasa mempunyai masalah dengan topik ini. Saya tidak pernah berasa selesa menaiki teksi sendirian dengan pemandu lelaki.

“Sekurang-kurangnya dengan Uber dan Careem anda mendapat sedikit maklumat tentang pemandu sebelum anda menaikinya,” katanya.

“Kebanyakan pemandu teksi di seluruh dunia adalah lelaki, tetapi anda melihat pemandu wanita di beberapa negara. Pastinya lebih selesa dengan pemandu wanita berbanding lelaki.”

Penterjemah, Aseel Atif berkata pengumuman itu akan memberi lebih banyak pilihan kepada wanita dalam pasaran pekerjaan.

“Saya fikir berita ini akan membantu ramai wanita mencari kerjaya,” katanya, sambil menambah bahawa dia mungkin mempertimbangkannya untuk dirinya sendiri.

“Saya suka memandu, jadi saya tidak kisah menjadi pemandu teksi.”

Sejak diberi hak untuk memandu pada 2018, beberapa kerjaya dalam bidang pengangkutan telah dibuka kepada wanita Arab Saudi, termasuk memandu kereta api, pesawat terbang dan juga kereta lumba.

Keputusan itu juga membenarkan wanita bekerja sebagai pemandu untuk aplikasi pengangkutan seperti Uber dan Careem. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR