Wakil AS beri amaran Korea Utara mungkin jalankan ujian nuklear minggu depan

Korea Utara berkemungkinan mengadakan ujian nuklear terbaharu mereka minggu depan, kata wakil Amerika Syarikat (AS) memberi amaran.

Wakil kanan AS meramalkan Pyongyang mungkin meningkatkan provokasi dengan ujian senjata nuklearnya menjelang sambutan ulang tahun ke-110 kelahiran pengasas negara Komunis itu, Kim Il-sung.

Korea Utara juga sudah menjalankan beberapa siri pelancaran peluru berpandu dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan kemungkinan besar ujian tersebut bakal dijalankan sangat tinggi memandangkan AS mendakwa Korea Utara enggan menerima permintaan daripada Washington untuk berunding semula berhubung isu menghentikan penggunaan nuklear.

Pyongyang mengabaikan cadangan AS untuk rundingan dan mungkin merancang ujian senjata nuklearnya yang pertama dalam tempoh hampir lima tahun pada cuti umum 15 April, dedah wakil tersebut.

Sung Kim, wakil khas Dasar Korea Utara, berkata Washington berpendapat Pyongyang dijangka merancang pertunjukan secara meluas kapasiti senjata nuklearnya yang semakin meningkat pada cuti tahunan minggu depan, bagi meraikan ulang tahun ke-110 kelahiran Kim Il-sung, pengasas Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) moden.

“Kami bimbang pada ulang tahun 15 April yang akan datang, DPRK mungkin mengambil satu lagi tindakan provokatif,” kata Kim kepada pemberita, merujuk kepada pelancaran ujian peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini.

“Saya tidak mahu terlalu banyak membuat spekulasi, tetapi saya fikir ia mungkin satu lagi pelancaran peluru berpandu, ia mungkin ujian nuklear,” katanya.

Korea Utara sudah menguji senjata nuklear beberapa kali bermula pada 2006 dan ujian terakhirnya yang dijalankan pada 2017.

Pyongyang terus mengabaikan permintaan Washington untuk menyambung semula perbincangan berhubung pengeluaran semua senjata nuklear dari semenanjung Korea, kata Kim.

“Kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada Pyongyang,ia sangat mengecewakan, kerana kami telah menghantar beberapa mesej, sama ada secara umum dan persendirian, malah menjemput mereka untuk berdialog tanpa sebarang syarat,” katanya.

“Sebaliknya Korea Utara memulakan satu siri ujian peluru berpandu yang baru-baru ini dengan melancarkan sekurang-kurangnya tiga ujian peluru berpandu ICBM. Tindakan ini menimbulkan ancaman serius kepada kestabilan serantau.”

Kim juga berkata bahawa China dan Rusia juga tidak membantu desakan presiden Joe Biden untuk memulakan semula perbincangan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Rundingan yang bertujuan untuk membendung ancaman nuklear Pyongyang mendapat sambutan positif di bawah pentadbiran AS Donald Trump sebelum ini, tetapi ia tidak diteruskan.

BERITA BERKAIT
POPULAR