
Imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bahagian kepala Firaun Amenhotep I. - Gambar Sahar Saleem/Zahi Hawass
Kira-kira 140 tahun yang lalu, ahli arkeologi menemukan mumia Firaun Amenhotep I bersama-sama dengan mayat lain yang dipelihara dengan baik di Deir el-Bahari di selatan Mesir.
Kerana topeng muka dan pembalut yang kukuh, mereka memutuskan untuk menyimpan mumia Firaun tanpa melakukan pemeriksaan lanjut atau uji kaji.
Pada tahun 1930-an, beberapa ujian X-ray telah dilakukan terhadap Amenhotep, tetapi kini, Ahli Radiologi Sahar Saleem dari Universiti Kaherah dan Ahli Arkeologi Zahi Hawass mengetahui lebih lanjut berhubung wajah Firaun Mesir purba melalui tomografi komputer – teknik yang digunakan untuk menghasilkan gambar foto X-ray keratan satah tertentu tubuh manusia atau objek lain.
Mereka menemukan banyak ciri-ciri dan butiran maklumat mengenai tubuh Firaun itu, termasuk ketinggiannya1.69 meter, berkhatan dan mempunyai gigi yang baik,” kata Saleem.
Dibantu imej tiga dimensi (3D) digital yang canggih, penyelidik menemui teknik mumifikasi baharu yang digunakan untuk firaun yang memerintah sejak tahun 1,500 sebelum Masihi itu.
Amenhotep tidak mengalami sebarang penyakit atau kecederaan yang membawa maut dan penyelidik menganggarkan umurnya 35 tahun. Mereka menyifatkan fakta bahawa dia sangat dipelihara oleh sekumpulan pengikut setia Amun.
Sekitar 1100 sebelum Masihi, kumpulan itu mengeluarkan mumia yang rosak bersama keranda lain dari kubur asal mereka dan menyembunyikannya di tempat lain bagi memastikan ianya selamat daripada perompak kubur.

Imbasan tomografi berkomputer dari luar keranda menunjukkan keadaan Firaun Amenhotep I. – Gambar Sahar Saleem/Zahi Hawass
Kementerian Pelancongan dan Antikuiti dalam satu kenyataan media berkata kajian itu mendedahkan buat kali pertama wajah Raja Amenhotep I, umurnya, keadaan kesihatan di samping banyak rahsia mumia unik dan pengebumian semula mumia.
Analisis menunjukkan Amenhotep I adalah firaun pertama yang dimumiakan dengan tangan bersilang dan yang terakhir dengan cara tidak mengeluarkan otak dari tengkorak.
Imbas CT dijalankan mendapati firaun yang menjalankan beberapa kempen ketenteraan semasa pemerintahannya selama 21 tahun itu dipercayai meninggal dunia pada usia 35 tahun kerana kecederaan atau sakit.
Pada April 2021, Amenhotep I membuat penampilan umum apabila dibawa melalui jalan-jalan di Kaherah dalam perarakan perayaan bersama 21 mumia lain yang diletakkan di dalam gerabak berlapis emas.
Lapan belas Firaun dan empat ratu, termasuk ibu Amenhotep disimpan di Muzium Mesir di Kaherah selama lebih dari satu abad, dan dijangka dipindahkan ke Muzium Negara Tamadun Mesir yang baru dibina di selatan Kaherah. – Agensi