
Arab Saudi mengumumkan permohonan visa umrah 1444 Hijrah bagi jemaah luar negara dibuka mulai hari ini (14 Julai 2022).
Arab Saudi melanjutkan tempoh sah visa daripada satu bulan kepada tiga bulan tanpa mengenakan sebarang sekatan kepada jemaah untuk melawat mana-mana wilayah di negara itu.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata susulan pelancaran perkhidmatan elektronik, semua pihak boleh memohon visa umrah, penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan lain untuk ke Tanah Suci.
“Visa umrah akan dikeluarkan dalam tempoh kurang 24 jam dan tempoh sahnya akan dilanjutkan daripada satu hingga tiga bulan tanpa sebarang sekatan ke atas pelawat.
“Ini bermakna jemaah umrah boleh melawat mana-mana tempat di Arab Saudi menggunakan visa tiga bulan yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, jemaah umrah hanya dibenar berada dalam lingkungan tertentu di Tanah Suci tanpa boleh memasuki wilayah lain, kecuali yang tiba dengan visa pelancongan.
Langkah terbaharu itu membolehkan jemaah umrah untuk melawat bandar lain di Arab Saudi tanpa sekatan, katanya sambil menjelaskan kementeriannya akan menawarkan segala kemudahan untuk meningkatkan industri pelancongan Arab Saudi.
Dr Tawfiq berkata mereka yang memohon secara elektronik untuk mengerjakan umrah boleh menyemak permohonan mereka di laman web.
Beliau menekankan bahawa orang ramai perlu memastikan mereka berdaftar dengan syarikat yang telah disenaraikan di dalam laman web kementerian.
Menurutnya Eatmarna adalah antara perkhidmatan yang dilancarkan semasa wabak Covid-19 dan bertujuan memudahkan jemaah umrah dan ketika mereka menunaikan ibadah mereka.
“Kami sedang mengusahakan platform Nusk, yang merupakan aplikasi komprehensif yang memperkayakan pengalaman digital dan merupakan antara projek akan datang dan akan menyumbang kepada memperkayakan pengalaman serta menambah baik serta meningkatkan tahap perkhidmatan itu,” katanya. – Agensi