Visa, Mastercard gantung operasi di Russia

Syarikat gergasi pembayaran menggunakan kad kredit dan debit – Visa dan Mastercard – mengumumkan pada Sabtu (5 Mac 2020) bahawa mereka akan menggantung operasi di Russia, menjadi firma utama Amerika Syarikat (AS) terbaharu yang menyertai langkah sekatan perniagaan susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Memperhatikan keadaan konflik semasa yang belum pernah berlaku sebelum ini dan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, Mastercard berkata firma itu memutuskan untuk menggantung perkhidmatan rangkaian di Russia.

Visa pula berkata bahawa mengambil langkah serta-merta syarikat itu akan bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsinya dalam Russia untuk menghentikan semua transaksi Visa dalam beberapa hari akan datang.

Presiden AS Joe Biden “mengalu-alukan keputusan itu” semasa panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine Volodymyr Zelensky di mana kedua-duanya membincangkan tindakan industri AS, sekutu dan swasta untuk menghalang Russia daripada pencerobohan, menurut White House.

Syarikat-syarikat besar merentasi pelbagai industri telah menghentikan perniagaan di Russia sejak pencerobohannya bermula 10 hari lalu, termasuk daripada firma teknologi yang berpangkalan di AS seperti Intel dan Airbnb kepada gergasi mewah Perancis LVMH, Hermes dan Chanel.

Visa dan Mastercard telah pun mengumumkan bahawa mereka mematuhi sekatan AS dan antarabangsa yang dikenakan ke atas Russia berikutan serangannya.

“Rakan sekerja kami, pelanggan kami dan rakan kongsi kami telah terjejas dalam cara yang kebanyakan kami tidak dapat bayangkan,” kata Mastercard, menyatakan bahawa kadnya yang dikeluarkan oleh bank Russia tidak akan lagi disokong oleh rangkaian syarikat.

Visa juga berkata bahawa kad yang dikeluarkan di Russia tidak lagi berfungsi di luar negara.

Bank-bank utama Russia, termasuk pemberi pinjaman terbesarnya, Sberbank dan Bank Pusat Russia, meremehkan kesan penggantungan kad itu terhadap pelanggan mereka.

“Semua kad bank Visa dan Mastercard yang dikeluarkan oleh bank Russia akan terus beroperasi seperti biasa di wilayah Russia sehingga tarikh luputnya,” kata Bank Pusat Rusia.

Sberbank berkata dalam satu kenyataan di akaun Telegram rasminya bahawa kad “boleh digunakan untuk operasi di wilayah Russia – untuk mengeluarkan wang tunai, membuat pemindahan menggunakan nombor kad, dan untuk pembayaran di luar talian serta di kedai dalam talian di Russia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR