Victoria catat kes terendah dalam tempoh seminggu

Negeri Victoria di Australia hari ini merekodkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 terendah dalam tempoh seminggu apabila mencatatkan sebanyak 1,355 kes, menurut data pihak berkuasa negeri itu.

Komander Covid-19 Victoria, Jeroen Weimar pada sidang media hari ini berkata dalam tempoh 24 jam lalu seramai 11 pesakit meninggal dunia.

Terdapat 21,000 kes aktif Covid-19 di seluruh negeri itu.

“Individu yang dimasukkan ke hospital terdiri daripada golongan muda dan tidak divaksin. Dua pertiga daripada kes melibatkan individu di bawah usia 40 tahun dan selebihnya di bawah 20 tahun.

“Sebanyak 18 peratus kes hari ini melibatkan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun,” katanya sambil menambah golongan muda dan individu tidak divaksin menjadi penyumbang utama kes harian Covid-19.

Menurutnya pihak berkuasa tidak akan mengadakan sidang media harian berkaitan Covid-19 selepas hari ini, namun data akan terus disalurkan seperti biasa.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada orang ramai yang terus mengikuti perkembangan berkaitan Covid-19 sejak berbulan lalu,” katanya sambil menjelaskan terdapat 747 pesakit kini dirawat di hospital, dengan 135 daripadanya dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU).

Penduduk Melbourne akhirnya dibenarkan keluar membeli-belah di kedai runcit yang tidak penting dan berkumpul dalam kumpulan yang lebih besar, selepas sekatan dilonggarkan pada jam 6 petang semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR