Varian Omicron tak seteruk Delta walaupun pantas menular: Saintis

Varian Omicron tidak teruk seperti disangkakan berbanding varian Covid-19 yang lain, lapor AFP yang memetik saintis terkemuka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Amerika Syarikat (AS), namun memberi amaran bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai tahap keterukannya.

Penilaian itu dibuat tatkala negara di seluruh dunia semakin bimbang berhubung peningkatan penularan varian yang telah dikategorikan sebagai membimbangkan (VOC), sehingga memaksa berpuluh-puluh negara mengenakan semula sekatan sempadan dan meningkatkan kemungkinan kembali kepada penutupan atau ‘lockdown’.

Sementara Omicron berkemungkinan lebih mudah menular berbanding varian sebelumnya, ‘data awal tidak menunjukkan bahawa ini lebih teruk’, kata saintis WHO kepada AFP.

“Malah, jika ada, hala tujunya adalah ke arah kurang teruk,” kata Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan dalam temu bual pada hari Selasa, sambil menegaskan lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Ryan juga berkata ‘sangat tidak mungkin’ bahawa Omicron boleh mengelak sepenuhnya pertahanan vaksin Covid sedia ada.

“Kita mempunyai vaksin yang sangat berkesan yang telah terbukti berkesan terhadap semua varian setakat ini, dari segi jangkitan yang teruk dan kemasukan ke hospital,” katanya merujuk kepada data awal daripada Afrika Selatan, di mana varian Omicron pertama kali dilaporkan.

Bagaimanapun, Ryan mengakui bahawa kemungkinan vaksin sedia ada kurang berkesan terhadap Omicron, varian Covid-19 yang mempunyai lebih daripada 30 mutasi pada spike protein dan membolehkannya menyerang sel.

Saintis terkemuka AS, Dr Anthony Fauci bersetuju pandangan WHO yang mengatakan Omicron tidak kelihatan lebih teruk daripada varian sebelumnya berdasarkan petunjuk awal – malah mungkin lebih ringan.

Varian baharu itu jelas sangat mudah ditularkan… kemungkinan besar lebih cepat daripada Delta, varian global yang dominan ketika ini, kata Fauci kepada AFP.

“Namun ia hampir pasti tidak seteruk Delta. Terdapat beberapa cadangan bahawa ia mungkin kurang teruk,” katanya.

Kesan yang teruk juga boleh mengambil masa beberapa minggu untuk berkembang. Kemudian, apabila kita mendapati lebih banyak jangkitan di seluruh dunia, mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk melihat tahap keterukan, katanya.

Sehingga hari ini, varian Omicron telah dilaporkan di 57 negara dan bilangan pesakit yang memerlukan kemasukan ke hospital berkemungkinan bakal meningkat, namun belum ada kematian disebabkan varian itu dilaporkan.

Pada 26 November lalu, WHO mengisytiharkan varian Omicron, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika, sebagai varian membimbangkan (VOC). Ia adalah varian Covid-19 yang dikategorikan sebagai VOC.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Afrika Selatan meningkat dua kali ganda dalam seminggu hingga 5 Disember lalu kepada lebih 62,000 dan peningkatan’sangat tinggi’ telah dilaporkan di Eswatini, Zimbabwe, Mozambique, Namibia dan Lesotho, kata WHO.

Ryan juga menekankan keperluan untuk semua negara membantu mengesan kes Omicron dan menyelidik kelakuannya.

“Semakin banyak data yang kami kumpulkan dalam dua minggu akan datang, (peluang yang lebih baik) bagi kesimpulan yang jelas berhubung implikasi varian ini,” katanya.

Sementara penilaian awal Omicron yang positif membantu memulihkan keyakinan orang ramai, terutama dalam kalangan pasaran global, kemunculan varian tersebut telah menyerlahkan bahawa usaha menentang wabak Covid-19 masih belum berakhir.

Laporan terbaharu menunjukkan lebih 5.2 juta penduduk dunia meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 sejak mula dikesan di Wuhan, China pada akhir 2019 lalu, walaupun angkanya dianggarkan lebih daripada itu.

Saintis dan pakar kesihatan berkata vaksinasi serta penjarakan sosial yang berterusan kekal sebagai kunci untuk mengalahkan semua varian virus, termasuk Omicron. – AFP

BERITA BERKAIT
POPULAR