Varian Omicron bakal jadi ‘varian dominan’ tandingi Delta

Menurut data terkini dari Afrika Selatan, varian baharu iaitu varian Omicron dilihat mampu mengatasi beberapa imuniti, tetapi vaskinasi masih mampu memberikan perlindungan terhadap gejala teruk dan ianya sekarang dikenal pasti akan mengatasi Delta dari menjadi varian dominan.

Varian baharu ini mencetuskan kebimbangan global akan lonjakan kes jangkitan, apabila ianya pertama kali dikesan di selatan Afrika minggu lalu dan mendorong kebanyakan negara dunia mengenakan sekatan perjalanan serta melaksanakan tindakan lain untuk mencegahnya.

Menurut laporan rasmi semalam, varian baharu ini dikesan di hampir lima daripada sembilan wilayah di Afrika Selatan dan ia berkemungkinan sudah merebak ke seluruh negara itu serta jumlah kes harian melonjak dua kali ganda kepada 8,561 kes.

Sehingga kini, tidak dikenal pasti berapa ramai orang sudah dijangkiti varian Omicron ini kerana tidak semua sampel ujian tertakluk kepada penjujukan genomik, namun data rasmi mengesahkan varian itu mampu ‘dengan cepat menjadi varian dominan’.

Melalui Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) yang bertindak mengumpulkan data daripada rangkaian nasional yang lebih luas untuk pengawasan genomik, varian Omicron mampu menyumbang 74 peratus daripada 249 genom virus yang dijujukan di Afrika Selatan pada November lalu.

Sehingga kini, Afrika Selatan sudah menjalankan penjujukan genom terhadap sebahagian kecil sampel dikumpulkan setiap minggu dan pihak NICD masih tidak memberikan angka kes jangkitan Omicron yang disahkan.

“Profil mutasi dan gambaran epidemiologi menunjukkan varian Omicron mampu mengatasi beberapa perlindungan imun tubuh badan kita menyebabkan jangkitan namun perlindungan vaksin terhadap gejala teruk dan kematian seharusnya kurang terjejas,” jelas laporan terbaharu daripada rangkaian pengawasan itu.

Pada 8 November lalu, sampel terawal varian itu dikesan dan dikumpulkan di Gauteng, wilayah paling ramai penduduk di Afrika Selatan, terletaknya Johannesburg dan Pretoria.

Sejak itu, varian itu dikesan di kebanyakan wilayah lain di Cape Timur, KwaZulu Natal, Mpumalanga dan Cape Barat.

Selasa lalu, penganjur festival muzik di Ballito Rage di bandar Ballito, utara Durban di pantai timur Afrika Selatan terpaksa menghentikan acara itu selepas 36 orang disahkan positif Covid-19 di tapak muzik berkenaan dan masih tidak dikenal pasti sama ada kesemua kes itu dari varian Omicron atau varian lain.

Pada awal Julai lalu, varian Delta sudah mencetuskan gelombang ketiga di negara itu yang melonjakkan melebihi 26,000 kes sehari.

Manakala sejak permulaan pandemik itu, Afrika Selatan merekodkan lebih tiga juta jangkitan dengan hampir 89,000 korban, tertinggi di benua Afrika itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR