Varian Omicron 5 kali ganda lebih mudah dijangkiti daripada Delta

Risiko dijangkiti Covid-19 dari varian Omicron adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding varian lain terutamanya Delta dan tiada bukti terperinci mengenai kesan jangkitannya tidak teruk.

Penemuan kajian dari Kolej Imperial London itu berdasarkan data Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK) dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).

Kajian itu melibatkan pesakit yang disahkan positif Covid-19 dalam ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) di England pada 29 November dan 11 Disember lalu.

“Kami masih tidak dapat menjumpai bukti jelas untuk kedua-dua risiko seperti kadar kemasukan ke hospital dan status gejala akan kemudaratan Omicron berbeza daripada Delta.

“Ini kerana, data mengenai kemasukan ke hospital melibatkan jangkitan Omicron dan Delta sangat terhad,” jelasnya.

Melalui kajian pada 16 Disember lalu, Omicron hanya dikaitkan dengan risiko jangkitan semula sehingga 5.4 kali ganda lebih tinggi berbanding Delta.

Sebelum ini, dalam satu kajian yang dilaksanakan di Jepun menemui Omicron empat kali lebih mudah menjangkiti berbanding varian Delta.

Sementara itu, syarikat farmaseutikal, Pfizer turut meramalkan pandemik Covid-19 ini tidak akan dapat ditangani sehingga 2024.

Jelasnya, suntikan jumlah dos yang lebih rendah untuk golongan kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun menunjukkan reaksi tahap pelalian lebih lemah daripada dijangkakan.

Menurutnya, ia secara langsung berpotensi melewatkan perintah perlaksanaan program suntikan itu.

Pfizer memaklumkan pihaknya kini sedang melaksanakan ujian suntikan dos penggalak kepada semua golongan umur di bawah 16 tahun, termasuk kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun

Pihaknya sebelum ini tidak menjangkakan kelewatan perlaksanaan program ini akan terjadi kerana ia boleh mengubah rancangan mengemukakan permohonan untuk kegunaan kecemasan bagi suku kedua tahun depan.

“Data yang diperolehi menunjukkan impak akibat pemberian suntikan dos penggalak dan tindak balas vaksin kami berfungsi dengan lebih baik sekiranya disuntik tiga dos,” jelas ketua pegawai saintifik, Mikael Dolsten.

Sebelum ini, Pfizer membangunkan vaksin bersama-sama syarikat dari Jerman, BioNTech.

Kedua-dua syarikat ini membangunkan satu versi vaksin khusus untuk memerangi varian Omicron yang pantas menular, meskipun mereka belum memutuskan sama ada ia diperlukan.

Mereka menjangka boleh memulakan uji kaji klinikal ke atas vaksin yang ditambah baik pada Januari ini, kata eksekutif Pfizer.

Syarikat itu berkata, ia kini menjangkakan vaksin itu mampu meraih pendapatan AS$31 bilion (RM131 bilion) pada tahun depan.

Suntikan khusus varian, jika diperlukan, boleh melonjakkan penjualan pada 2022.

Pfizer dan BioNTech melakukan ujian ke atas satu dos tiga mikrogram vaksinnya ke atas kanak-kanak berusia dua dan lima tahun, selepas menggunakan dos 10 mikrogram ke atas kanak-kanak lima hingga 11 tahun dan dos 30 mikrogram ke atas sesiapa yang berusia 12 tahun ke atas.

Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 24 bulan, versi dos rendah vaksin menyebabkan tindak balas pelalian yang tekal dengan penerima vaksin lebih tua, kata syarikat itu.

Sekiranya kajian tiga dos itu berjaya, Pfizer dan BioNTech dijangka mengemukakan data kepada pihak pengawalan undang-undang supaya menyokong Perintah Penggunaan Kecemasan ke atas kanak-kanak berusia enam bulan hingga di bawah lima tahun bagi separuh pertama 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR