Varian Delta tersebar meluas di sembilan wilayah Indonesia

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia mengesahkan pihak hospital di negara itu semakin berdepan kesukaran untuk menangani pesakit Covid-19 susulan penularan varian Delta yang semakin meluas di sembilan wilayah.

Varian Delta yang mula ditemukan di India kini dilaporkan menular dengan pantas di kalangan penduduk Indonesia dan memberi risiko yang tinggi terhadap individu dijangkiti.

Menteri Kesihatan republik itu Budi Gunadi Sadikin berkata tiada yang menjangkakan varian Delta yang mula dikesan Mac lalu merebak begitu cepat ke hampir seluruh wilayah di Indonesia.

“Kami sudah menjangkakan varian itu akan mudah tersebar, tetapi tidak secepat sekarang. Namun, penularan yang pantas ini tidak sahaja berlaku di Indonesia, sebaliknya turut menyebabkan kes baharu Covid-19 meningkat di United Kingdom (UK) dan Israel,” katanya hari ini.

Menurut data terbaru dari Badan Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Kesihatan pada 6 Julai, terdapat sebanyak 436 kes yang dikesan dengan varian Delta telah ditemukan di sembilan wilayah.

Antaranya, di Jakarta yang mencatatkan jangkitan varian Delta tertinggi iaitu 195 kes, diikuti oleh Jawa Barat (134), Jawa Tengah (80), Jawa Timur (13), Banten (empat), masing-masing tiga kes di Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur, dan Sumatera Selatan, serta satu kes di Gorontalo.

Budi Gunadi berkata jumlah keseluruhan tersebut membuktikan bahawa kes yang dikesan dalam sebulan telah menunjukkan peningkatan dua kali ganda penyebaran yang semakin meluas ke seluruh republik itu.

Ahli Epidemiologi Indonesia yakin bahawa jumlah kes varian Delta kurang dilaporkan tetapi hakikatnya ia jauh lebih tinggi menjangkiti pesakit Covid-19 di Indonesia.

Kewujudan varian ini hanya dapat dikesan melalui ujian Whole Genome Sequencing (WGS) manakala jumlah makmal yang menyediakan peralatan untuk ujian WGS adalah sangat terhad. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR