Varian Delta semakin menular di Indonesia

Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Kesihatan Republik Indonesia merekodkan 759 kes varian Delta di negara itu pada 16 Julai lalu mula merebak ke 19 wilayahnya.

Di Jakarta sahaja sebanyak 276 kes varian Delta dilaporkan diikuti Jawa Barat (214 kes); Jawa Tengah (131 kes); dan masing-masing 20 kes di Sumatera Utara dan Yogyakarta.

Manakala, 13 kes varian Delta dikesan masing-masing di Jawa Timur, Nusa Tenggara Barat dan Kalimantan Timur; Sulawesi Selatan (11 kes); Papua (10 kes); Kalimantan Utara dan Sumatera Selatan masing-masing lapan kes, Banten (tujuh) dan Kalimantan Tengah (empat).

Sementara masing-masing tiga kes turut dikesan di Bali, Lampung, dan Bengkulu diikuti oleh Gorontalo dan Kepulauan Riau masing-masing satu kes.

Melalui data yang direkodkan pada 6 Julai lalu, hanya terdapat 436 kes varian Delta yang dilaporkan di sembilan wilayah di Indonesia iaitu 195 kes di Jakarta, diikuti Jawa Barat (134 kes); Jawa Tengah (80 kes); Jawa Timur (13 kes); Banten (empat), di Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur dan Sumatera Selatan masing-masing tiga kes, dan di Gorontalo (satu).

Tidak sampai 10 hari, jumlah jangkitan kes bagi varian Delta ini terus meningkat dua kali ganda.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin melaporkan bahawa situasi di hospital semakin membimbangkan khususnya dalam menangani pesakit Covid-19 berikutan penyebaran wabak baru Delta ini.

Katanya, varian baru ini mampu tersebar dengan lebih cepat dan dapat mendatangkan risiko tinggi bagi orang yang terdedah kepadanya.

“Pihak kami telah berusaha untuk menjangkakan hal ini, tetapi jangkitan varian ini lebih cepat merebak berbanding banyak ramalan yang dibuat para saintis di seluruh dunia.

“Bukan hanya di Indonesia, tetapi England dan Israel juga melaporkan peningkatan jangkitan kes Covid-19 yang semakin tinggi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR