
Lebih 50 juta penduduk Amerika Syarikat dijangkiti Covid-19. - Gambar AFP
Amerika Syarikat (AS) mengekalkan larangan perjalanan antarabangsa Covid-19 di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) susulan peningkatan jumlah jangkitan varian Delta di kalangan penduduk.
Langkah itu adalah petanda baharu bahawa White House akan memikir semula pendiriannya mengenai pandemik Covid-19 yang lebih menular dan melonjak di AS serta penentangan rakyatnya terhadap pemberian vaksin.
Keputusan itu juga memperlihatkan sentimen berbeza Presiden Joe Biden sekarang ini yang pada awalnya mengatakan AS sedang menimbang untuk menarik balik sekatan perjalanan ke negara-negara Eropah.
Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki berkata larangan perjalanan antarabangsa itu akan kekal buat masa ini.
“Susulan penularan varian Delta, jumlah kes baharu yang meningkat, terutama di kalangan mereka yang tidak divaksin, ia (larangan) dikekalkan untuk minggu-minggu akan datang,” katanya.
Jumlah peningkatan kes Covid-19 juga menyebabkan pentadbiran beberapa agensi mula memberi perhatian kepada dasar pemakaian pelitup muka. Pegawai kesihatan AS mengakui mereka sedang mempertimbangkan keperluan memakai pelitup muka di kalangan kakitangan kerajaan Persekutuan.
Hari ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran AS menjadi yang agensi Persekutuan yang pertama mewajibkan pekerja kesihatannya mendapatkan suntikan vaksin.
Varian Delta adalah mutasi daripada virus Covid-19 dan lebih mudah tersebar berbanding varian lain. Ianya mula dikesan di India tetapi kini telah menular ke seluruh dunia.
Minggu lalu, pegawai kesihatan AS berkata sekurang-kurangnya 83 peratus kes Covid-19 di negara itu disebabkan jangkitan varian Delta, menyebabkan kadar kemasukan ke hospital meningkat 32 peratus.
Peningkatan kes itu mencetuskan tindakan beberapa negeri di AS yang meluluskan peraturan pemakaian pelitup muka, termasuk kepada individu yang sudah disuntik vaksin Covid-19.
Peningkatan kes membabitkan varian Delta memberi cabaran politik kepada Biden, yang sebelum ini bangga apabila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka pada Mei lalu, dan pada 4 Julai mengumumkan virus itu sudah ‘melarikan diri’ dari AS.
Sehingga Ahad lalu, 69 peratus individu dewasa AS menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin – masih rendah berbanding sasaran 70 peratus yang ditetapkan Biden. Sebanyak 60 peratus rakyat AS telah divaksin sepenuhnya.
CDC turut mengingatkan warga AS supaya tidak melakukan perjalanan ke UK setelah jangkitan baharu di negara itu kembali meningkat. – Agensi