Varian Delta: Amerika Syarikat rekod semula 100,000 kes harian

Jumlah jangkitan harian baharu Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) meningkat kembali kepada kira-kira 100,000 kes pada Sabtu, menurut data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Selepas virus Covid-19 mula merebak di AS, ia mengambil masa sehingga November 2020 untuk mencecah 100,000 jangkitan baharu sehari, dan melonjak kepada 250,000 kes sehari pada Januari 2021 sebelum vaksin diberi secara meluas, sekali gus kes mula menurun.

Terkini, varian Delta – yang mudah menular dan berjangkit berbanding virus asal yang muncul di AS – telah dikesan terhadap 80 peratus daripada kes baharu yang dilaporkan.

Sehubungan itu, pakar kesihatan menggesa individu yang tidak divaksin supaya mendapatkan suntikan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di AS.

“Model kami menunjukkan jika tidak divaksin, kes harian boleh meningkat kepada ratusan ribu, sama seperti lonjakan yang berlaku pada Januari lalu,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky kepada CNN.

Sebagai tambahan kepada varian Delta itu, pakar kesihatan mengambil berat terhadap jumlah individu yang tidak divaksin di negeri-negeri di selatan AS.

Arkansas, Mississippi, Louisiana dan Alabama adalah negeri di mana pemberian vaksin paling rendah, tetapi tertinggi dari segi penularan Covid-19.

Untuk hari kedua berturut-turut Florida pula memecah rekod jangkitan harian pada Sabtu apabila mencatatkan 23,903 kes baharu. Ia adalah jumlah jangkitan tertinggi dilaporkan di kalangan negeri-negeri di AS, lapor data CDC.

Sementara itu, kemasukan ke hospital di Florida turut mengalami lonjakan pesakit Covid-19 berbanding sebelum ini iaitu sebanyak 13,750 kes, lapor Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS pada Sabtu.

Walensky berkata sekurang-kurangnya 97 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan akibat Covid-19 pada pertengahan Julai lalu tidak divaksin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR