Varian Covid-19 akan dikenali menggunakan abjad Greek

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan, amalan mengenali varian Covid-19 mengikut negara ia mula ditemui akan dihentikan bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan stigma pandemik itu.

Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove, berkata menerusi sistem baharu membabitkan variants of concern (VOC) dan variants of interest (VOI) yang membimbangkan, ianya akan dikenali menggunakan abjad Greek.

“Ia tidak akan menggantikan nama saintifik sedia ada, sebaliknya bertujuan memudahkan perbincangan umum.

Di bawah sistem baharu itu, empat varian membimbangkan diberi nama baharu, di mana Varian B.1.1.7 Britain dikenali sebagai Alpha; Varian Afrika Selatan B.1.351 (Beta) dan Varian P.1 Brazil (Gamma).

Varian B.1.617 India yang diasingkan kepada dua kategori, dengan the B.1.617.2 selaku varian membimbangkan, akan dikenali sebagai Delta manakala Varian B.1.617.1 (Kappa).

Selain nama berkenaan, terdapat dua lagi nama saintifik bagi setiap mutasi manakala lokaliti penemuan turut digunakan bagi mengenal pasti varian sama.

Contohnya di Britain, Varian Britain disebut oleh negara lain, dtetapi di United Kingdom ia ikenali sebagai Varian Kent iaitu nama wilayah di mana kali pertama ditemui di tenggara England.

Namun, rujukan B.1.1.7.2 masih terus digunakan dalam kalangan masyarakat saintifik kerana ia mengandungi butiran mutasi varian berkenaan.

WHO, dalam satu kenyataan berkata meskipun nama saintifik ada kelebihannya ia mungkin sukar diungkapkan atau diingati, sekali gus menjadi punca salah lapor.

“Akibatnya, orang ramai cenderung menyebut sesuatu varian mengikut tempat ia ditemui, sekali gus mencetuskan stigma dan diskriminasi.

“Bagi mengelakkannya dan memudahkan penyampaian kepada umum, WHO menggalakkan pihak berkuasa, media dan pihak berkenaan untuk mengguna pakai nama atau label baharu ini,” katanya.

Terdapat 24 huruf Greek dan setakat ini, langkah seterusnya belum dipertimbangkan sekiranya semua huruf terbabit habis digunakan.

Ini kerana huruf tertentu seperti Epsilon, Zeta, Eta, Theta dan Iota sudah pun digunakan untuk mengenai pelbagai varian virus atau bakteria lain. – Agensi

POPULAR