Vaksin Sinovac tidak mampu lawan varian Omicron: Kajian Hong Kong

Vaksin keluaran Sinovac Biotech, salah satu yang paling banyak digunakan di dunia, tidak menyediakan antibodi mencukupi untuk meneutralkan varian Omicron, kata penyelidik Hong Kong susulan kajian makmal yang dilakukan.

Penemuan terbaharu itu akan memberi impak kepada jutaan populasi dunia yang sebelum ini menggunakan vaksin keluaran China itu untuk mencegah daripada dijangkiti Covid-19.

Pasukan penyelidik di Universiti Hong Kong dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dirumus berdasarkan hasil kajian ke atas 25 individu yang lengkap divaksin dengan Sinovac.

Kajian itu membuktikan tidak ada seorang pun yang menunjukkan antibodi mencukupi di dalam serum darah untuk melawan varian Omicron.

Bagaimanapun, gelombang jangkitan sebelumnya di beberapa negara yang banyak menggunakan vaksin Sinovac akan memberikan beberapa imuniti semula jadi yang akan membantu memastikan “tiada kesan besar” daripada Omicron, kata Profesor Epidemiologi Universiti Hong Kong, Benjamin Cowling.

Selain itu, dalam satu kajian berasingan melibatkan 25 individu lain yang lengkap divaksin dengan vaksin mRNA keluaran Pfizer dan BioNTech SE, saintis menemukan lima orang daripadanya mampu melawan varian baharu itu.

Ia sejajar dengan hasil kajian yang dikeluarkan minggu lalu oleh kedua-dua syarikat itu, yang menyatakan suntikan dos penggalak mampu memberikan perlindungan daripada varian Omicron.

Sementara itu, kajian di Jepun menemukan, varian baharu itu mempunyai empat kali ganda lebih mudah menjangkiti berbanding varian Delta dan mungkin akan mengganggu tindakan dunia untuk keluar daripada fasa pandemik ini.

Dalam masa sama, kumpulan penyelidik mengesyorkan populasi dunia perlu divaksin semula untuk melawan varian baharu ini.

Bagaimanapun, penyelidik juga mengakui masih banyak yang perlu dikaji untuk mengetahui lebih terperinci mengenai tindak balas vaksin Sinovac terhadap Omicron, termasuk bagaimana sel T iaitu senjata imun terhadap sel pesakit dijangkiti virus itu akan bertindak balas.

Namun, penemuan ini memberi tamparan hebat kepada lebih 2.3 bilion penerima vaksin Sinovac terutamanya penduduk di China dan negara membangun lain.

Minggu lalu, Sinovac memaklumkan pihaknya sedang meneliti dengan lebih terperinci bagaimana vaksin keluarannya mampu bertindak dalam melawan Omicron namun, tidak memberikan tempoh masa untuk mengeluarkan keputusan berhubung isu tersebut.

Syarikat yang berpangkalan di Beijing itu juga tidak memberikan sebarang respon dengan kadar segera berhubung hasil penemuan daripada Universiti Hong Kong itu.

Sehubungan itu, kumpulan saintis turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan suntikan dos penggalak dengan kadar segera. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR