Vaksin Covid-19: Thailand lulus campuran suntikan dos pertama, kedua

Kerajaan Thailand membuat keputusan menggunakan vaksin AstraZeneca (mRNA) sebagai dos kedua bagi individu yang telah menerima suntikan pertama vaksin Sinovac, untuk meningkatkan perlindungan terhadap virus Covid-19.

Rancangan itu, apabila dilaksanakan kelak akan menjadi langkah pertama diumum secara terbuka membabitkan campuran vaksin buatan China dan Barat.

Ia juga sekali gus menimbulkan persepsi orang ramai bahawa vaksin Sinovac yang bukan mRNA buatan China, kurang berkesan dalam melawan varian baharu Covid-19.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap varian Delta serta membina imuniti ke tahap lebih tinggi terhadap wabak yang sedang menular itu,” kata Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul.

Thailand dan Indonesia sebelum ini melaporkan penularan jangkitan Covid-19 membabitkan kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan yang telah disuntik dua dos vaksin Sinovac.

Majoriti kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan Thailand diberi suntikan dos Sinovac sebelum AstraZeneca mula memasuki negara itu secara meluas pada Jun lalu.

Keputusan kerajaan Thailand untuk mencampur kedua-dua vaksin berkenaan dibuat selepas Kementerian Kesihatan negara itu semalam memaklumkan 618 daripada 677,348 kakitangan perubatannya yang telah menerima dua dos Sinovac telah dijangkiti Covid-19 sejak April hingga Julai lalu.

Negara itu juga merancang memberi vaksin mRNA sebagai dos ketiga kepada kakitangan perubatan yang telah menerima dua dos suntikan Sinovac.

Thailand hari ini merekodkan 8,656 jangkitan baharu dan 80 kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kes sebanyak 345,027 dan 2,791 kematian.

Kenaikan kes baharu dan kematian itu bermula sejak April lalu dipacu oleh penularan varian Alpha dan Delta.

Susulan itu, Thailand mengenakan perintah darurat di 10 wilayahnya, termasuk Bangkok mulai hari ini, bagi menyekat pergerakan orang ramai, selain menggantung penerbangan dalam negeri serta perkhidmatan pengangkutan awam yang dihadkan.

Darurat, termasuk perintah berkurung di kawasan zon merah, berkuat kuasa selama dua minggu itu bertujuan memperlahankan penularan varian baharu Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR