
Ukraine memindahkan penduduknya dari Donetsk - daerah di mana berlaku pertempuran paling sengit dengan tentera Russia. - Gambar Reuters
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengarahkan pemindahan mandatori penduduk di wilayah timur Donetsk bermula Sabtu (30 Julai), tempat pertempuran sengit dengan tentera Russia.
Dalam ucapan televisyen lewat malam tadi, Zelensky juga berkata ratusan ribu penduduk yang masih berada di zon pertempuran di wilayah Donbas yang lebih luas, yang mengandungi Donetsk serta wilayah jiran Luhansk, perlu meninggalkan rumah mereka.
“Semakin ramai orang meninggalkan (wilayah) Donetsk sekarang,” katanya sambil menambah bahawa penduduk yang dipindahkan akan diberi pampasan.
Secara berasingan, media tempatan Ukraine memetik Timbalan Perdana Menteri Iryna Vereshchuk sebagai berkata pemindahan perlu dilakukan sebelum musim sejuk bermula kerana bekalan gas asli di rantau itu telah musnah.
Zelensky berkata ratusan ribu penduduk masih berada di kawasan Donbas di mana pertempuran sengit berlaku antara askar Ukraine dan Russia.
“Ramai yang enggan keluar tetapi ia masih perlu dilakukan. “Jika anda mempunyai peluang, sila bercakap dengan mereka yang masih kekal di zon pertempuran di Donbas.
“Tolong yakinkan mereka untuk meninggalkan wilayah itu,” katanya.
Terdahulu pada Sabtu, tentera Ukraine mendakwa lebih daripada 100 askar Russia terbunuh dan tujuh kereta kebal musnah dalam pertempuran di selatan pada hari Jumaat, termasuk wilayah Kherson yang menjadi tumpuan serangan balas Kyiv terhadap Moscow.
Trafik kereta api ke Kherson melalui Sungai Dnipro telah diputuskan, kata pemerintah tentera di kawasan selatan, sekali gus memisahkan tentera Russia di barat sungai daripada Cremia di timur.
Di selatan bandar Bakhmut, yang disebut Russia sebagai sasaran utama di Donetsk, tentera Ukraine berkata tentera Russia telah “sebahagiannya berjaya” dalam mewujudkan kawalan ke atas penempatan Semyhirya.
“Mereka bertapak di pinggir penempatan itu,” kata laporan tentera, merujuk kepada tentera Russia.
Pegawai pertahanan dan perisikan dari Britain, yang menjadi salah satu sekutu paling setia Ukraine sejak Moscow menyerang jirannya pada 24 Februari lalu, menggambarkan tentera Russia sedang bergelut untuk mengekalkan momentum.
Ukraine menggunakan sistem peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan Barat untuk merosakkan tiga jambatan merentasi Dnipro dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan tentera Russia terdedah kepada serangan di tebing barat sungai itu. – Agensi