Ukraine-Russia diambang perang: Banyak negara arah rakyat keluar

Lebih banyak negara mengeluarkan amaran kepada rakyat mereka supaya keluar dari Ukraine susulan kebimbangan yang semakin memuncak kemungkinan Russia akan menyerang negara itu pada bila-bila masa.

Dengan Kanada mula menutup sementara kedutaannya, situasi sedemikian biasanya berlaku sebelum serangan dilakukan ke atas sesebuah negara, sebagaimana ketika Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq sebelum ini, di mana banyak negara menutup kedutaan dan membawa keluar rakyatnya.

Antara negara yang kini mengarahkan rakyatnya keluar dari Ukraine ialah AS, Australia, Belgium, Britain, Bulgaria, Kanada, Estonia, Jerman, Ireland, Israel, Itali, Jepun, Lithuania, Luxembourg, Netherlands, Norway, Arab Saudi, Singapura, Slovenia, dan Emiriah Arab Bersatu.

Perancis pula memberi nasihat perjalanan ke kawasan sempadan di utara dan timur Ukraine, tetapi tidak mengarahkan rakyatnya meninggalkan negara itu.

Romania yang bersempadan dengan Ukraine menasihatkan rakyatnya tidak melawat ke negara itu untuk sementara waktu.

Moscow pula memanggil pulang sesetengah pegawai diplomatiknya dengan memberi alasan bimbang terhadap ‘provokasi’.

AS juga mengarahkan kebanyakan kakitangan diplomatiknya di ibu negara Ukraine, Kyiv, dengan mangatakan tindakan ketenteraan Russia boleh bermula bila-bila masa sekarang.

Seperti AS yang menempatkan sementara kakitangan diplomatik di bandar Lviv, barat Ukraine, kira-kira 50 batu dari sempadan Poland, untuk mengendalikan kes-kes kecemasan, Kanada dan Australia turut berbuat demikian.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan kakitangan diplomatik yang tidak penting di Kyiv meninggalkan negara itu dan melakukan telekomunikasi dari luar negara.

Romania telah mengeluarkan kakitangan yang tidak penting dari kedutaannya di Kyiv, dan Israel telah memindahkan keluarga diplomat dan kakitangan kedutaan.

Syarikat penerbangan Belanda KLM mengumumkan mereka menangguhkan penerbangan ke Ukraine sehingga diberitahu kelak.

Tetapi kementerian infrastruktur Ukraine berkata negara itu akan membiarkan ruang udaranya terbuka walaupun terdapat kemungkinan pencerobohan Russia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR