Ukraine dakwa 10,000 lebih orang terbunuh di Mariupol

Ukraine mendakwa lebih 10,000 orang berkemungkinan terbunuh dalam serangan Rusia ke atas bandar Mariupol yang terletak di tenggara negara itu.

Selain itu, tentera Rusia juga didakwa melakukan penyeksaan dan pembunuhan orang awam di bandar tersebut.

Reuters sebelum ini melaporkan kemusnahan besar-besaran berlaku di bandar Mariupol, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jenayah yang berlaku atau anggaran sebenar orang awam yang terbunuh di bandar tersebut.

Mariupol terletak di antara Crimea yang dekat dengan Rusia dan kawasan timur Ukraine dikuasai oleh kumpulan pemisah yang disokong Moscow.

“Mariupol dimusnahkan, terdapat puluhan ribu orang mati, tetapi Rusia masih tidak menghentikan serangan mereka,” kata Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan video kepada penggubal undang-undang Korea Selatan.

Jika benar laporan jumlah orang yang terbunuh ini, ia adalah jumlah kematian terbesar setakat ini dilaporkan di satu daerah di Ukraine.

Dalam pada itu, bandar, pekan dan kampung diserang tentera Rusia tanpa henti dan mayat, termasuk orang awam bergelimpangan di jalanan.

Ketua Republik Rakyat Donetsk yang disokong Rusia, Denis Pushilin pula memberitahu agensi berita RIA berkemungkinan lebih 5,000 orang mungkin terbunuh di Mariupol dan menyalahkan tentera Ukraine sebagai pihak bertanggungjawab.

BERITA BERKAIT
POPULAR