UK tuduh stesen RT alat kempen Kremlin salur maklumat salah

Britain menuduh saluran berita Russia, RT (Russia Today), sebagai alat kempen Kremlin menyalurkan maklumat salah, dan meminta pengawal selia media – Ofcom – mengambil tindakan jika perlu selepas Russia mengiktiraf dua wilayah pemberontak di timur Ukraine.

Setiausaha Kebudayaan Britain Nadine Dorries memberitahu Ofcom saluran itu “secara nyata sebahagian daripada kempen menyampaikan maklumat salah ketika krisis Ukraine”.

Bagaimanapun, pegawai Rusia berkata RT adalah cara untuk Moscow bersaing dengan penguasaan syarikat media global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang didakwa hanya menawarkan berita sebelah pihak.

Pengkritik berkata RT, yang menyiarkan berita dalam bahasa Inggeris, Arab, Sepanyol dan Jerman, adalah cabang propaganda Russia dan bertujuan untuk menjejaskan keyakinan terhadap institusi Barat.

RT bagaimanapun, berkata ahli politik Britain cuba mencampuri urusan pengawal selia, menjejaskan kebebasan di negara itu.

Saluran yang disokong Kremlin, yang boleh diikuti berjuta-juta penduduk di United Kingdom (UK) berkata kerajaan negara itu campur tangan dalam institusi seperti Ofcom yang kononnya bebas daripada tekanan politik.

“Menteri kebudayaan UK kini jelas campur tangan secara langsung dalam institusi yang dikatakan bebas sepenuhnya daripada tekanan dan pengaruh politik,” Anna Belkina, Timbalan Ketua Editor RT, memberitahu Reuters.

Belkina berkata walaupun menghadapi tekanan politik, Ofcom tidak menemui sebarang pelanggaran Kod Penyiaran oleh RT dalam tempoh empat tahun lalu.

Ofcom berkata ia akan mengutamakan aduan mengenai mana-mana liputan berita penyiar tentang Russia dan Ukraine.

“Memandangkan krisis Ukraine yang serius, kami akan meneliti aduan mengenai mana-mana liputan berita penyiar mengenai isu ini sebagai keutamaan,” kata pengawal selia.

Dalam surat kepada pengawal selia, Dorries berkata beliau bimbang saluran itu akan “mencari untuk menyebarkan maklumat salah yang berbahaya tentang krisis yang sedang berlaku di Ukraine di UK”.

Pemimpin Parti Buruh Sir Keir Starmer menyifatkan saluran itu sebagai “alat propaganda peribadi” Presiden Russia Vladimir Putin, dan meminta Perdana Menteri Britain Boris Johnson menyemak semula lesennya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR