
Sehingga 14 Jun 2022 sebanyak 1,300 kes cacar monyet dilaporkan oleh kira-kira 30 negara dengan kebanyakannya di Eropah.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) kini menyenaraikan cacar monyet sebagai penyakit berjangkit yang perlu dimaklumkan – apa-apa daripada keadaan kesihatan yang perlu dilaporkan kepada pihak berkuas kesihatan awam, mulai Rabu (8 Jun).
Ini bermakna semua doktor di UK perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan apabila mereka mengesyaki pesakit mempunyai virus itu.
“Diagnosis dan pelaporan pantas adalah kunci untuk menghalang sebarang penyebaran cacar monyet,” kata Pengarah UKHSA bagi kes cacar monyet dalam satu kenyataan.
“Peraturan baharu ini akan menyokong kami dan rakan kongsi kesihatan kami untuk mengenal pasti, merawat dan mengawal penyakit dengan cepat.”
Pihak makmal juga mesti memaklumkan kepada UKHSA jika virus itu dikenal pasti dalam sampel yang diuji.
Peraturan itu dikeluarkan susulan jumlah kes cacar monyet yang disahkan di UK mencapai 302 pesakit pada Isnin.
Profesor Epidemiologi Penyakit Berjangkit, London School of Hygiene & Tropical Medicine (LSHTM), Prof David Heymann berkata menjadikan cacar monyet sebagai penyakit yang perlu dimaklumkan, menunjukkan usaha dilakukan bagi memastikan pelaporan dari semua sektor – awam dan swasta – dan semua bahagian agensi keselamatan kesihatan.
“Langkah itu membolehkan kerajaan menumpukan pengawasan kepada seluruh penduduk – bukan sahaja kepada kumpulan berisiko yang dikenal pasti setakat ini.
“Ini akan membenarkan pengenalpastian yang lebih jelas terhadap semua kumpulan berisiko dan membantu memahami epidemiologi dan tahap penyebaran dengan lebih baik,” katanya.
UKHSA mengekalkan risiko kepada populasi umum adalah rendah kerana virus itu, yang ditularkan melalui hubungan fizikal rapat, tidak merebak dengan mudah.
Bagaimanapun, ia boleh hidup di permukaan seperti cadar atau tuala.
Orang ramai dinasihatkan untuk melihat ruam yang luar biasa bagi mereka atau ulser. – Agensi