UK rekod 98,515 jangkitan baharu, 143 kematian

United Kingdom (UK) mencatat 98,515 kes baharu Covid-19 pada Isnin, tatkala jangkitan kekal tinggi manakala varian baharu, Omicron, terus memburukkan lagi gelombang penularannya.

Data rasmi kerajaan terkini, tertumpu kepada England, juga mendedahkan 113,628 kes Covid-19 pada Hari Krismas dan 103,893 kes pada Boxing Day (26 Disember 2021).

Data ini tidak mengandungi statistik jangkitan di Ireland Utara, Scotland dan hanya sebahagian sahaja dari Wales disebabkan perbezaan dalam amalan pelaporan sepanjang tempoh Krismas.

Kadar jangkitan memuncak kepada lebih 122,000 kes pada 24 Disember sehari sebelum sambutan, susulan gelombang penularan Omicron.

Secara keseluruhannya, Britain melaporkan 148,003 kematian, sementara lebih 12.2 juta lagi kumulatif kes positif.

“Data akan menjadi tidak tepat sepanjang tempoh perayaan kerana corak ujian dan kemasukan ke hospital berubah. Ini akan menyukarkan untuk mentafsir apa-apa arah aliran yang jelas dalam beberapa hari akan datang,” menurut dokumen yang dikeluarkan Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (Sage).

Sementara itu, Perdana Menteri Boris Johnson tidak dijangka mengumumkan apa-apa langkah ketat setelah diberi taklimat berhubung kesan dan jangkitan Covid-19 ketika musim perayaan.

Menurut laporan, kerajaan mungkin memilih untuk mengeluarkan panduan sukarela baharu berhubung langkah mengehadkan perhimpunan dan perkumpulan, daripada mengambil risiko satu lagi tentangan Parlimen, jika sebarang langkah diambil. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR