UK kuat kuasa semula protokol Covid-19 cegah penularan Omicron

United Kingdom (UK) mengenakan semula protokol Covid-19 yang lebih ketat, termasuk menasihati orang ramai untuk bekerja dari rumah, sebagai tindak balas terhadap peningkatan kes varian Omicron.

Pelitup muka kini diwajibkan semula di kebanyakan persekitaran dalaman, dan pasport vaksin diperlukan untuk memasuki kelab malam di England dan tempat yang menampung orang ramai, seperti stadium bola sepak. Peraturan yang sama telah pun dilaksanakan di Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Kerajaan berkata jika perlu orang ramai harus bekerja dari rumah, mulai Isnin ini manakala peraturan lain, termasuk pemakaian pelitup muka di dalam teater dan pawagam serta tempat awam akan berkuat kuasa mulai Jumaat.

Kerajaan Boris Johnson memutuskan untuk mengaktifkan satu set dasar yang digelar “Pelan B” bagi memerangi dan mengurangkan tahap peningkatan dan penularan varian Omicron.

Johnson, sebelum ini menarik balik kebanyakan sekatan dan protokol Covid-19 di England pada Julai berikutan kejayaan pelaksanaan vaksinasi, telah berikrar untuk mengharungi musim sejuk tanpa melaksanakan perintah penutupan atau ‘lockdown’ keempat.

Beliau berkata terdapat 568 kes varian Omicron yang dikesan di UK setakat ini dengan jumlah jangkitan meningkat dua kali ganda bagi setiap dua hingga tiga hari.

“Kami melihat pertumbuhan kes di UK yang mencerminkan peningkatan pesat yang sebelum ini hanya berlaku di Afrika Selatan. Sekarang adalah masa untuk berpindah ke Pelan B,” kata Johnson.

Sebagai tambahan kepada nasihat untuk bekerja dari rumah dan peraturan pemakaian pelitup muka, kerajaan juga mewajibkan individu yang menghadiri acara di tempat tertutup tertentu, termasuk kelab malam, menunjukkan bukti vaksinasi untuk masuk.

Peraturan itu juga akan digunakan untuk mana-mana tempat tertutup dengan lebih 500 tempat duduk serta tempat duduk di tempat terbuka dengan kapasiti 4,000 orang atau lebih, dan mana-mana tempat dengan tempat duduk untuk lebih daripada 10,000 orang.

Johnson berkata buat masa ini individu yang telah mendapat kedua-dua suntikan vaksin Covid-19 layak untuk mendapat pasport vaksin, tetapi pihak berkuasa terus memantau perkara ini dan kemungkinan pada satu ketika memerlukan orang ramai menerima dos penggalak.

UK kini melancarkan suntikan penggalak kepada individu berusia lebih 40 tahun, dan pegawai perubatan mengatakan bahawa setakat ini kira-kira satu pertiga daripada mereka yang layak telah mendapat suntikan ketiga mereka.

Peraturan baharu itu diperkenalkan semula setelah jumlah kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan melebihi 50,000 buat kali pertama sejak Julai, manakala Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty, berkata penularan meluas Omicron yang baru dikesan bakal menyebabkan varian itu mengambil alih tempat Delta sebagai varian dominan.

Ahli epidemiologi di Imperial College London, Prof Neil Ferguson yang juga anggota kumpulan penasihat saintifik kerajaan, memberitahu BBC Radio bahawa, pada kadar semasa, Omicron akan mengatasi varian Delta yang lebih awal sebagai varian dominan Covid-19.

Jawatankuasa saintifik kerajaan telah menasihatkan bahawa berdasarkan kadar jangkitan sekarang ini, kemasukan baharu ke hospital boleh mencecah 1,000 pesakit sehari menjelang 1 Januari sekiranya varian Omicron dibiarkan terus menular tanpa kawalan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR