UK isytihar tindakan China terhadap Muslim Uyghur sebagai genosid

Ahli Parlimen Britain sebulat suara mengisytiharkan tindakan keras berterusan China di wilayah Xinjiang adalah genosid atau penghapusan sesuatu kaum secara sengaja.

Perisytiharan pada Khamis sekali gus menandakan Britain menyertai Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Belanda dalam mengutuk tindakan Beijing terhadap kaum minoriti Uyghur dan umat Islam di wilayah itu.

China dituduh menangkap sehingga dua juta etnik Uyghur dan umat Islam serta menempatkan mereka di dalam kem tahanan di seluruh Xinjiang sejak beberapa tahun kebelakangan, selain didakwa melakukan penyeksaan, perkosaan dan buruh paksa.

Beijing bagaimanapun menafikan tuduhan itu, sambil menyatakan mereka melaksanakan sistem latihan vokasional dan program membentuk semula individu yang dilihat radikal supaya menjadi lebih sederhana, demi keselamatan wilayah itu.

Susulan perdebatan pada Khamis, Parlimen Britain meluluskan tanpa bantahan, resolusi mengutuk pelanggaran hak asasi manusia secara besar-besaran dan kekejaman terhadap kemanusiaan di wilayah autonomi etnik Uyghur di Xinjiang.

“Undian hari ini mesti menjadi titik perubahan. Tiada siapa yang dapat menafikan skala kekejaman yang berlaku di wilayah Xinjiang.

“Sementara kerajaan Britain menjalin hubungan perdagangan yang mendalam dengan China, kekejaman ini berterusan dan tidak difikirkan,” kata Ahli Parlimen Parti Buruh, Yasmin Qureshi.

Membentangkan usul itu, Ahli Parlimen Konservatif Nusrat Ghani berkata walaupun Britain tidak boleh menyalahgunakan istilah genosid, tetapi semua pihak tidak boleh membiarkannya ketika keadaan memerlukan.

“Usaha kita untuk menangani genosid tidak boleh dikawal oleh China,” katanya.

Menurut Konvensyen Pembunuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut ditandatangani China, genosid adalah cubaan melakukan tindakan ‘dengan niat memusnah keseluruhan atau sebahagian nasionaliti, etnik, kaum atau kumpulan agama.

Menurut PBB terdapat lima cara di mana genosid dilakukan iaitu:

1. Membunuh ahli kumpulan;
2. Kenyebabkan kecederan serius kepada badan atau mental anggota kumpulan;
3. Dengan sengaja menyebabkan keadaan hidup yang boleh mengakibatkan kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian;
4. Mengenakan langkah-langkah yang bertujuan mencegah kelahiran dalam kumpulan; dan
5. Memindahkan kanak-kanak secara paksa kepada kumpulan lain.

BERITA BERKAIT
POPULAR