UK catat rekod jangkitan harian tertinggi 122,186 kes baharu

United Kingdom (UK) mencatat rekod baharu jangkitan harian Covid-19 pada Jumaat dengan anggaran baharu Pejabat Perangkaan Kebangsaan menunjukkan kira-kira satu daripada 10 penduduk London mungkin dijangkiti virus itu.

Penularan pantas Omicron turut mendorong lonjakan kes sejak tujuh hari lalu, terutamanya di kota itu.

Data kerajaan menunjukkan 122,186 kes baharu, meningkat daripada 119,789 pada Khamis sekali gus menandakan hari ketiga kes melebihi 100,000.

Banyak industri dan rangkaian pengangkutan bergelut dengan kekurangan kakitangan apabila pekerja yang sakit menjalani kuarantin, manakala hospital di Britain telah memberi amaran berhubung risiko kesan terhadap keselamatan pesakit.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Boris Johnson, menolak untuk melaksanakan sekatan baharu sebelum hari itu sendiri, dengan mengatakan bahawa terdapat ketidakpastian berhubung tahap keterukan jangkitan Omicron dan kadar kemasukan ke hospital.

Walaupun penyelidikan terkini mengenai Omicron mencadangkan ia mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang lebih rendah daripada varian Covid-19 sebelumnya, pegawai kesihatan mengekalkan notis berhati-hati berhubung prospek kemasukan ke hospital.

“Ada sinar bagi menyambut Krismas, tetapi ia pastinya belum pada tahap di mana kita boleh menurunkan taraf ancaman serius itu,” kata Ketua Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA), Jenny Harries.

“Apa yang kita dapat sekarang ialah keseimbangan yang sangat baik antara sesuatu yang kelihatan seperti risiko kemasukan ke hospital yang lebih rendah – yang merupakan berita baik – tetapi bersamaan pula dengan varian yang sangat mudah menular,” katanya.

Pada Jumaat, UK melaporkan 137 kematian baharu dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif Covid-19, turun daripada 147 kes pada Khamis, dan menjadikan jumlah keseluruhan semasa wabak itu kepada 147,857 kes – yang tertinggi di Eropah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR