UK beri dos penggalak minggu depan

September 15, 2021 · Dunia

United Kingdom (UK) mengumumkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada warga emas dan individu lebih rentan akan dilaksanakan segera bagi menangani penularan Covid-19 pada musim sejuk yang bakal menjelang akhir Disember ini.

Keputusan itu dibuat setelah kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson enggan mengenakan semula sekatan dan penutupan, sebaliknya lebih bergantung kepada program vaksinasi kepada penduduk negara itu.

“Kami kini terus melaksanakan program suntikan penggalak… jadi ini bermaksud kita akan membina tembok pelindung imunisasi yang lebih tinggi di negara ini.

“Apabila anda mempunyai populasi yang ramai, sebagaimana yang kami ada sekarang, dengan imuniti, maka perubahan yang kecil akan menjadi perbezaan yang besar, dan memberi kami keyakinan bahawa kita tidak perlu lagi kembali kepada ‘lockdown’,” kata Johnson pada Selasa.

Johnson membatalkan perintah sekatan dan ‘lockdown’ di England pada Julai dengan sasaran untuk membolehkan orang ramai kembali menjalani hidup normal seperti sebelum penularan Covid-19.

Pegawai kesihatan UK – ketika mencadangkan suntikan ketiga kepada petugas barisan hadapan, dan penduduk berusia 50 tahun ke atas serta yang rentan, bermula dengan individu yang lebih terdedah kepada risiko dijangkiti – mengatakan vaksin Covid-19 menyelamatkan lebih 112,000 nyawa dan mengalihkan jangkitan virus daripada 24 juta individu.

Johnson berharap program dos penggalak itu, yang diputuskan tanpa bukti kukuh mengenai keberkesanannya, bermaksud hospital dapat menanggung beban jangkitan ketika musim sejuk di UK tanpa memerlukan pelaksanaan perintah sekatan dan penutupan lain.

Beliau turut mengariskan pelan B, yang melibatkan sijil vaksin wajib dalam beberapa keadaan, mewajibkan pemakaian pelitup muka, dan meminta orang ramai bekerja dari rumah.

Sejak wabak Covid-19 melanda awal tahun lalu, UK merekodkan 134,000 kematian dalam kalangan 67 juta penduduknya.

Menteri Kesihatan Sajid Javid berkata program dos penggalak itu akan bermula minggu depan dengan suntikan kepada pekerja kesihatan mungkin akan diwajibkan.

Empat kerajaan di bawah UK – England, Wales, Scotland dan Ireland Utara – akan menggerakkan kempen dos penggalak setelah disyorkan Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI).

JCVI mencadangkan suntikan dos penggalak diberi enam bulan setelah dos kedua, selepas mendapati bukti berlaku penurunan kecil keberkesanan vaksin terhadap warga emas yang dimasukkan ke hospital.

Pegawai kesihatan England mengatakan mereka tidak pasti sama ada dua dos suntikan vaksin itu memberi perlindungan melebihi enam bulan dan suntikan penggalak akan mencegah jangkitan serta kematian akibat Covid-19, tetapi tidak menyatakan sama ada suntikan dos ketiga itu akan menurunkan kadar penularan.

“Kita masih belum melewati pandemik ini. Kita tahu musim sejuk akan datang mungkin boleh mencetuskan gelombang. Lebih baik bersikap mendahului, bersiap sedia dan merancang pelan berdepan yang terburuk,” kata Timbalan Ketua Pegawai Perubatan England, Jonathan Van-Tam.

Ketua Agensi Kawalan Produk Ubat-ubatan dan Kesihatan UK, June Raine berkata vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca boleh digunakan dalam program dos penggalak itu.

Keutamaan diberikan kepada Pfizer dan Moderna, dengan suntikan setengah dos. Suntikan boleh diberikan pada masa sama dengan vaksin selesema, katanya.

Sehingga kini 44 juta individu telah menerima dua dos vaksin dengan 81 peratus berusia 16 tahun ke atas. Pada Isnin, kerajaan UK juga menawarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

UK sekarang ini merekodkan jangkitan baharu tertinggi kedua setelah Amerika Syarikat (AS) yang juga merancang melaksanakan suntikan dos penggalak. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Tipu cukai, Shakira berdepan hukuman penjara lebih 8 tahun
July 30, 2022
Singapura tarik balik produk kicap dari Malaysia
September 3, 2022
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok