UK berdepan krisis hospital, kes harian Covid-19 melebihi 200,000

Hospital di United Kingdom (UK) beralih menjadi ‘medan perang’ susulan kekurangan tenaga kerja disebabkan gelombang jangkitan varian Omicron, kata Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), ketika beban kes harian Covid-19 negara itu mencecah lebih 200,000 buat kali pertama.

Jumlah kes dalam tempoh 24 jam itu – setelah mencatatkan pelbagai rekod baharu menjelang Tahun Baharu – mencecah 218,724 dan 48 kematian, lapor data terkini kerajaan.

Jumlah kemasukan hospital sebelum ini tidak pernah mencapai kemuncak gelombang wabak sebelum penularan Omicron, manakala pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal mendatar.

Tetapi NHS, agensi yang dikendalikan kerajaan, bergelut pula dengan kakitangan yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas diuji positif, sementara Perdana Menteri Boris Johnson memberi jaminan akan mengatasi segera masalah itu, terutama di kawasan yang paling teruk terjejas.

Kira-kira 50,000 kakitangan NHS dilaporkan tidak hadir bekerja minggu lalu kerana sakit atau menjalani kuarantin.

Pengaktifan semula klinik kecemasan ‘Nightingale’, menyusul bersama pembentukan pasukan sukarelawan perubatan yang disokong tentera, bermakna NHS kembali ‘medan perang’, kata Johnson pada sidang akhbar.

“Jadi, sesiapa yang menganggap pertempuran kita dengan Covid sudah berakhir, saya khuatir, adalah sangat salah. Ini adalah masanya untuk berhati-hati,” kata Johnson.

Bagaimanapun, Johnson tetap menolak satu lagi tindakan ‘lockdown’ di seluruh negara, sambil memuji vaksinasi besar-besaran termasuk program suntikan penggalak baru-baru ini.

Pada masa sama, rangkaian pengangkutan juga bergelut dengan ketidakhadiran pekerja, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu lama untuk kembali bekerja selepas cuti umum pada Isnin, manakala perkhidmatan perbandaran seperti mengutip tong sampah isi rumah juga terhalang.

Tetapi Johnson berkata program baharu ujian harian terhadap 100,000 pekerja kritikal, termasuk dalam pengangkutan dan pemprosesan makanan, akan membantu Britain menempuh gelombang Omicron.

Menteri Program Vaksinasi, Maggie Throup pula berkata tidak pasti berapa ramai warga Britain yang kini menjalani kuarantin kendiri selepas lonjakan pada Krismas.

“Tetapi berita baiknya, ia nampaknya tidak mengakibatkan penyakit yang teruk seperti yang dilakukan oleh beberapa varian lain,” katanya kepada Sky News.

BERITA BERKAIT
POPULAR