UK berdepan bahaya, Omicron datang bagai kereta api ekspres

Kerajaan United Kingdom (UK) didakwa menolak gesaan pakar perubatan dan saintis supaya langkah kawalan dan sekatan mencegah penularan Covid-19, terutama varian Omicron, dilaksanakan segera sebelum sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Ketua Penasihat Sains UK, Sir Patrick Vallance dilaporkan menasihati Kabinet Boris Johnson supaya dilaksanakan segera perintah sekatan bagi mengurangkan kadar jangkitan dan tekanan terhadap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Pakar perubatan dan saintis menyifatkan penularan varian Omicron seperti pergerakan ‘kereta api ekspres’, namun Kabinet Britain dilapor menolaknya.

Bagaimanapun, kira-kira sepertiga daripada menteri UK – termasuk Johnson – menentang cadangan dan langkah sekatan itu, menurut laporan The Times.

Penolakan itu dibuat setelah Setiausaha Kesihatan Sajid Javid tidak menolak kemungkinan langkah kawalan sempena Krismas akan diambil.

Minggu lalu, jangkitan harian Covid-19 di UK meningkat dan mencapai rekod tertinggi sebanyak 93,045 kes, dengan saintis memberi amaran tentang ancaman serius yang ditimbulkan oleh Omicron.

Seorang lagi penasihat saintifik kerajaan UK, Profesor Stephen Reicher berkata varian baharu itu datang ke UK seperti kereta api ekspres kerana kadar kebolehjangkitannya yang tinggi selain paling cepat merebak.

Beliau berharap kerajaan UK menyampaikan mesej yang jelas dan baik kepada rakyat negara itu mengenai bahaya krisis disebabkan Omicron.

Profesor Universiti Oxford, Professor Carl Heneghan berkata UK berada dalam bahaya jika tidak mengambil tindakan segera kerana penularan Covid-19 yang berbeza sekarang.

Memberitahu dalam rancangan Radio 4 BBC hari ini beliau berkata, keadaan kini berbeza berbanding tahun lalu di mana jumlah kemasukan ke hospital adalah berkurangan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR