Ujian peluru berpandu jarak sederhana dilancar Pakistan

Pakistan pada Sabtu melancarkan ujian peluru berpandu balistik Shaheen-III dengan jarak 2,750 kilometer.

“Pakistan hari ini berjaya menjalankan ujian penerbangan peluru berpandu balistik permukaan – ke – permukaan Shaheen-III. Ujian dilakukan bertujuan untuk mengesahkan semula pelbagai reka bentuk dan parameter teknikal sistem senjata,” kata bahagian media Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) tentera Pakistan menurut laporan Bernama.

Pelancaran itu disaksikan oleh ketua Bahagian Pelan Strategik (SPD) Lt Jen Nadeem Zaki Manj, Pengerusi Suruhanjaya Kejuruteraan dan Saintifik Kebangsaan (Nescom) Raza Samar, Komando Pasukan Strategik Tentera Darat Lt Jen Muhammad Ali, pegawai kanan dan saintis, kata kenyataan itu.

Manj mengucapkan tahniah kepada saintis dan jurutera “kerana berjaya mencapai reka bentuk dinamik dan keupayaan pembangunan dan menyatakan keyakinan penuhnya terhadap keupayaan pencegahan nuklear Pakistan,” kata ISPR.

Presiden Arif Alvi, Perdana Menteri Imran Khan, Pengerusi Jawatankuasa Ketua Staf Bersama Jeneral Nadeem Raza dan ketua perkhidmatan turut mengucapkan tahniah kepada saintis dan jurutera, tambah kenyataan itu.

Pakistan memiliki pelbagai peluru berpandu yang mampu menyerang sasaran pada jarak yang berbeza.

Shaheen-III jarak sederhana pertama kali diuji pada Mac 2015.

BERITA BERKAIT
POPULAR