Pembuat peralatan telekomunikasi China, Huawei Technologies, diterima menjadi sebahagian daripada pasukan agensi keselamatan siber Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), walaupun terdapat kebimbangan mengatakan firma itu mengembangkan perisian pengawasan untuk menindas etnik minoriti Muslim Uighur.
Dalam kenyataannya semalam, Huawei berkata, firma itu menjadi syarikat teknologi global pertama yang bergabung dengan pasukan tindak balas kecemasan OIC yang dikenali sebagai OIC-CERT.
“Huawei menawarkan sokongan kepada negara-negara anggota OIC yang diancam serangan siber, selain membantu negara berkenaan membina sistem pertahanan siber sendiri,” kata Huawei.
Keanggotaan itu akan memungkinkan Huawei untuk secara aktif menyumbang kepada ekosistem keselamatan siber global dan meningkatkan pertahanan siber untuk negara-negara anggota OIC, kata kenyataan itu.
Kerjasama juga disambut baik oleh Pengarah Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer UAE (aeCERT), Adel Almehairi sambil berkata, Huawei mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam memperkasa transformasi digital selamat dan berdaya tahan di seluruh dunia.
Laporan mengatakan bahawa keahlian Huawei dalam OIC-CERT disokong oleh agensi keselamatan siber di UAE dan Malaysia.
Bagaimanapun, penyertaan Huawei itu mengecewakan kumpulan pejuang hak asasi manusia yang mengkritik OIC kerana kegagalan menegur China, tatkala bukti mendakwa kononnya berlaku penindasan terhadap Muslim Uighur semakin meningkat. – Agensi