Udang karang ancaman keselamatan China

Penyeludupan udang karang Australia yang berleluasa ke tanah besar China adalah satu ancaman kepada keselamatan negara, kata Pesuruhjaya Kastam Hong Kong, Louise Ho hari ini, ketika beliau berjanji untuk menghentikan kegiatan itu.

Udang karang adalah salah satu produk keluaran Australia yang dilarang import oleh China setelah hubungan diplomatik kedua-dua negara renggang awal tahun ini.

Tetapi udang karang tetap menjadi makanan istimewa yang sangat berharga dan dicari di China.

Kemasukan udang karang batu – hidupan laut jenis krustasia – di Hong Kong tidak dikenakan sekatan, melonjak, tetapi pihak berkuasa mengesyaki ianya akan berakhir di atas meja penggemar makanan itu di China.

Louise Ho dilantik sebagai Pesuruhjaya Kastam Kong Kong yang baharu hari ini, menjadikannya wanita pertama menduduki jawatan tinggi dalam agensi penguatkuasaan itu.

Ketika sidang media pertamanya hari ini, beliau menjelaskan kenapa salah satu daripada keutamaan yang akan dilakukannya ialah berkaitan menjaga keselamatan China.

“Umumnya, ini adalah masalah penyeludupan udang karang, tetapi aktiviti ini melanggar sekatan perdagangan negara kita terhadap Australia.

“Menghentikan penyeludupan udang karang adalah bahagian terpenting melindungi keselamatan nasional. Jadi kami akan lebih kerap mencegahnya,” katanya.

Penyeludupan pelbagai barang dengan bot laju menjadi tumpuan kumpulan jenayah terancang yang beroperasi di kedua-dua belah sempadan selama bertahun-tahun, tetapi fenomena itu terus meningkat ketika pandemik Covid-19.

Sebelum ini, polis mengambil tindakan tegas setelah seorang pegawai marin terbunuh bulan lalu setelah kapal dinaikinya dirempuh bot penyeludup.

Dalam beberapa kejayaan membanteras penyeludupan, pihak berkuasa Hong Kong turut merampas pelbagai barang mewah termasuk jam tangan, beg tangan, arak, kosmetik dan curut.

Minggu lalu, pihak berkuasa Hong Kong dan tanah besar China merampas 5,300 kilogram udang karang Australia bernilai kira-kira AS$540,000 dan menahan 13 individu.

Jun lalu, Bloomberg melaporkan Hong Kong menjadi pengimport terbesar udang karang Australia dengan peningkatan lebih 2,000 peratus dari Oktober tahun lalu kepada April 2021. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR