UAE benar perjudian, buka kasino

Salah satu daripada tujuh wilayah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membenarkan ‘perjudian’ setelah mengumumkan perjanjian berbilion-bilion dolar dengan pemaju dan pengendali hotel mewah serta kasino, Wynn Resorts.

Pengumuman oleh wilayah Ras al-Khaimah menyusul khabar angin yang muncul sejak berbulan lalu mengenai pembukaan sebuah kasino di UAE – negara dengan bangunan pencakar langit di Dubai, dan Abu Dhabi yang kaya dengan minyak.

UAE mempunyai tujuh wilayah yang setiau satu ditadbir oleh seorang Sheikh iaitu Abu Dhabi, Dubai, Sharjah, Ajman, Umm Al-Quwain, Fujairah, dan Ras Al Khaimah.

Pada awalnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Wynn Resorts dan Ras al-Khaimah hanya merujuk kepada “gaming” tanpa mengulas lanjut. Pihak Berkuasa Pembangunan Pelancongan wilayah itu berulang kali enggan menjawab soalan sama ada “gaming” yang dimaksudkan itu melibatkan pertaruhan tunai.

Sementara wilayah lain tidak mengumumkan perjanjian sama, pengendali kasino Caesars Palace telah mengendalikan pusat peranginan yang besar di Dubai, tanpa perjudian.

Bagaimanapun, satu kenyataan daripada pihak berkuasa Ras al-Khaimah berkata bahagian ‘permainan’ baharu akan memerlukan “pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan yang terpakai (termasuk undang-undang jenayah kewangan) daripada pengendali, pembekal dan pekerja.” Ia juga akan “memastikan ‘gaming’ yang bertanggungjawab di semua peringkat.”

‘Gaming’ sering digunakan sebagai bahasa lembut untuk perjudian di Amerika Syarikat. “Gaming” sering digunakan secara sinonim dengan perjudian dalam konteks perhotelan dan aktiviti masa lapang, walaupun tidak jelas sama ada ini secara eksplisit bermaksud pertaruhan tunai.

Jurucakap Wynn Resorts yang berpangkalan di Las Vegas, Michael Weaver, merujuk semula soalan sama ada “gaming” yang dimaksudkan itu melibatkan pertaruhan tunai, kepada pengawal selia di Ras al-Khaimah.

Kenyataan mengenai perjanjian itu, juga disiarkan ke laman web Wynn Resorts, termasuk sebutan berulang tentang kemudahan “gaming” di resort yang akan dibina.

“Resort bersepadu yang baru diumumkan itu masih dalam fasa reka bentuk awal dan dijangka siap menjelang 2026,” kata kenyataan susulan daripada Marjan, pemaju di Ras al-Khaimah yang terlibat dalam perjanjian itu.

“Itu sahaja butiran yang boleh diberikan pada peringkat ini.”

Ras al-Khaimah adalah wilayah paling utara di UAE dan telah berusaha untuk meningkatkan namanya selama bertahun-tahun dalam sektor pelancongan, yang didominasi oleh Dubai. Ia menarik pelbagai pelancong dari India, Russia, United Kingdom dan Mesir.

Walaupun pengambilan alkohol dan memakai bikini di pantai telah lama dibenarkan di kebanyakan tempat di UAE – membezakannya daripada kebanyakan negara Arab lain dan sebagai hab ekspatriat warga asing – tidak ada tempat untuk berjudi, walaupun Caesars Palace telah beroperasi di Dubai. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR