Turki ajak Malaysia beri tekanan henti kekejaman Israel

May 11, 2021 · Dunia

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menghubungi empat pemimpin negara Islam, termasuk Malaysia, mengajak negara-negara berkenaan bekerjasama dalam menghentikan ‘kekejian’ rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin.

Erdogan dilaporkan menghubungi secara berasingan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Emir Kuwait, Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah; dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani.

Menurut kenyataan Direktorat Media dan Penerangan Turki hari ini, Erdogan juga menghubungi dan berbual dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketika perbualan, Erdogan dan Al-Sultan Abdullah membincangkan mengenai hubungan kerjasama Malaysia dan Turki, serta serangan rejim Israel yang menyasarkan Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Dalam perbualan itu Erdogan menekankan pentingnya bersatu padu dalam menghadapi penindasan yang diderita rakyat Palestin akibat serangan Israel di Masjid Al-Aqsa.

Kenyataan itu menyebut:

“Menekankan pentingnya bersatu dalam menghadapi penindasan yang diderita rakyat Palestin akibat serangan Israel di Masjid Al-Aqsa, Presiden Erdogan menyatakan keyakinannya bahwa Turki dan Malaysia akan bekerjasama secara erat di semua platform yang relevan, terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).”

Dalam perbualan dengan Raja Jordan dan Emir Kuwait, ketiga-tiga pemimpin juga berbincang mengenai serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

“Seluruh umat Islam sebenarnya adalah sasaran serangan Israel yang tidak berperikemanusiaan di Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin,” kata Erdogan dalam perbualan dengan Raja Abdullah II.

Erdogan juga menekankan pentingnya bekerjasama untuk menghentikan serangan ‘keji’ rejim Zionis Israel ke atas Palestin yang semakin memuncak pada penghujung bulan Ramadan ini.

Ketika berbincang dengan Emir Qatar, Erdogan menekankan pentingnya Turki dan Qatar bekerjasama memantau wilayah bergolak itu dan mengajak campur tangan komuniti antarabangsa menentang serangan rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dan rakyat Palestin.

Sejak beberapa hari lalu ketegangan meningkat setelah pendatang haram Yahudi dan askar rejim Israel menyerbu masuk ke Masjid Al-Aqsa serta cuba mengusir puluhan keluarga Palestin di penempatan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Kumpulan pejuang Palestin, terutama Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menerusi sayap tenteranya, Briged Izuddin Al-Qassam (Al-Qassam), dan Jihad Islam, melancarkan serangan roket ke arah Israel sejak semalam.

Rejim Zionis Israel yang membalas menerusi serangan udara menyasarkan kawasan penduduk di Semenanjung Gaza menyebabkan 24 rakyat Palestin, termasuk sembilan kanak-kanak, terbunuh.

Rejim itu menduduki Baitulmaqdis Timur pada 1967 selepas tamat perang Arab-Israel, dan kemudian memperluaskan wilayahnya secara haram pada 1980 – langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia. – Agensi

Berita berkaitan
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
Lelaki dalam video tular sokong Israel ditahan polis
December 7, 2023· Isu semasa
Armada Bersatu gesa siasat video warga Malaysia dengan pembantu PM Israel
December 5, 2023· Isu semasa
Popular
66 maut pesawat terhempas di Nepal
January 15, 2023
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok