Tujuh pekerja binaan Thailand dijangkiti dua varian Covid-19 serentak

Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesahkan mereka menerima pesakit Covid-19 yang pelik daripada biasa apabila tujuh pekerja tapak binaan, masing-masing dijangkiti dua varian berbeza serentak.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Sains, Dr Supakit Sirilak berkata tujuh pekerja itu dijangkiti varian Delta dan pada masa sama varian Alpha turut dikesan di dalam tubuh mereka.

Penemuan itu katanya hasil ujian besar-besaran dilakukan ke atas sebuah tapak projek pembinaan di wilayah Bangkok dua hari lalu.

Varian Alpha kali pertama ditemukan di Britain, sementara varian Delta dikesan di India dan menjadi virus dominan di negara itu.

Bagaimanapun, Dr Sirilak berkata sehingga kini semua pekerja binaan itu berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala teruk Covid-19.

Namun, Dr Sirilak berkata jangkitan berganda itu tidak bermaksud bahawa gejala yang didapati oleh pesakit itu lebih serius.

“Jangkitan ini boleh menyebabkan campuran varian yang akan bermutasi dan membentuk varian baharu,” katanya sambil memaklumkan varian Delta kini menjadi virus dominan menggantikan varian Alpha di Thailand.

Semalam, Thailand merekodkan peningkatan kes Covid-19 dengan 9,317 kes harian baharu dan 87 kematian.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Thailand adalah sebanyak 363,029 kes dan 2,934 kes melibatkan kematian. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR