
Ahad lalu, 20.8 peratus daripada 12,635 orang pesakit Covid-19 di ibu negara itu telah dimasukkan ke hospital.
Tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Tokyo hari ini merekodkan 2,848 jangkitan baharu Covid-19, tertinggi sejak pandemik itu bermula awal tahun lalu, dengan media melaporkan pihak berkuasa telah meminta hospital menambah jumlah katil sebagai persediaan menerima pesakit.
Jepun sebelum ini telah berjaya menghindari wabak dahsyat yang dialami oleh negara-negara lain seperti India, Indonesia dan Amerika Syarikat, tetapi gelombang kelima pandemik yang didorong oleh varian Delta memberi tekanan kepada hospital di Tokyo.
Ahad lalu, 20.8 peratus daripada 12,635 pesakit Covid-19 di ibu negara itu telah dimasukkan ke hospital.
Panel penasihat kerajaan melihat jumlah itu kurang daripada 25 peratus dan kerajaan juga masih mempertimbangkan untuk melaksanakan perintah darurat di negara itu.
Tokyo telah mengisytiharkan darurat keempat pada bulan ini sehingga tamat temasya Olimpik.
Acara sukan Olimpik yang ditunda sejak tahun lalu. Peraturan ‘tanpa kehadiran penonton’ dikenakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Pihak berkuasa kesihatan Tokyo dilaporkan akan meningkatkan fasiliti perubatannya dengan menambah jumlah katil bagi rawatan Covid-19 menjadi 6,406 katil bermula bulan depan berbanding 5,967 katil sekarang.
Pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa faktor bermusim, peningkatan mobilitas, dan penyebaran varian akan menyebabkan lonjakan semula dalam kes Covid-19 pada musim panas ini.
Walaupun vaksinasi meningkatkan perlindungan bagi warga emas yang kemungkinan besar memerlukan rawatan kecemasan, hanya 36% penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Sebelum ini, temasya sukan Olimpik Tokyo telah mendapat tentangan yang hebat daripada banyak pihak yang mendesak supaya sukan ini ditangguhkan dan dibatalkan kerana bimbang kemasukan atlet dan pegawai dari negara lain akan mendorong kepada penyebaran wabak Covid-19.
Namun, sejak sukan Olimpik berlangsung, sebanyak 155 kes Covid-19 yang melibatkan atlet dan lain-lain telah dilaporkan walaupun terdapat peraturan kuarantin yang ketat untuk temasya tersebut. – Agensi