Transgender cetus perdebatan ulama akhirnya dikebumikan sebagai lelaki

Perdebatan umum mengenai prosedur pengebumian menurut Islam tercetus di Indonesia susulan kematian transgender, Dorce Gamalama akibat komplikasi Covid-19 pada usia 58 tahun, semalam.

Setelah menerima pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan seorang pemimpin Nahdlatul Ulama (NU), akhirnya keluarga Dorce bersetuju dia dikebumikan sebagai seorang lelaki.

Dorce meninggal dunia pada pagi Rabu selepas dirawat selama tiga minggu di Hospital Pertamina Simprug di Jakarta Selatan. Saudara-maranya berkata dia mempunyai penyakit lain yang membawa kepada komplikasi teruk jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan perbincangan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk keluarga, dia disembahyangkan dan dikebumikan mengikut tatacara Islam sebagai seorang lelaki,” kata jurucakap keluarga Anan Muhajir sebelum pengebumian.

Jenazahnya diletakkan di dalam ambulans sebagai mematuhi protokol Covid-19 dengan solat dilakukan berhampiran Masjid Al Hayyu di Jakarta Timur yang dibina dan disumbangkan kepada masyarakat setempat oleh Dorce.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam di Bantarjati di Jakarta Timur.

Apabila dia jatuh sakit akibat kencing manis dan batu karang tahun lalu, Dorce secara terbuka memberitahu bahawa dia ingin dikebumikan sebagai seorang wanita. Tetapi dia juga berkata terpulang kepada pemimpin agama untuk menentukan jantinanya untuk pengebumian.

“Saya mahu dikebumikan dengan cara saya. Saya telah menjadi wanita sejak pembedahan, jadi saya harus dimandikan (dan dikebumikan) sebagai seorang wanita,” katanya.

Pengerusi MUI Muhammad Cholil Nafis ketika mengulas perkara itu menerusi akaun Twitternya berkata, Dorce dilahirkan sebagai lelaki dan pengebumiannya mesti dilakukan mengikut undang-undang Islam.

Namun seorang ulama NU, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Taufik Damas menyatakan identiti gender adalah ‘pilihan peribadi’ dan Dorce mesti diklasifikasi sebagai wanita mengikut kehendaknya.

Dorce dilahirkan sebagai Dedi Yuliardi Ashadi di bandar Solok, Sumatera Barat pada 21 Julai 1963.

Dia menjalani pembedahan untuk perubahan fizikal di ibu kota Jawa Timur, Surabaya pada 1983 dan Mahkamah Daerah Surabaya membenarkan permintaannya untuk menukar jantinanya secara sah. Keputusan itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Agung.

Dorce telah membintangi sekurang-kurangnya empat filem dan dua siri televisyen sejak 1989, sementara dia juga menganjurkan program TV “Dorce Show” antara 2005 dan 2009.

Dia mencetuskan kontroversi selepas menghadiri pengebumian Imam Samudera, individu yang dihukum bunuh oleh skuad penembak Indonesia pada 2008 kerana berperanan dalam pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.

Pada masa itu Dorce berkata Imam Samudera “akan masuk syurga” sebagai syahid. – JakartaGlobe

BERITA BERKAIT
POPULAR