Tornado landa enam negeri di AS pada Jumaat pecah rekod heretan 1925

Kawanan tornado atau puting beliung melanda enam negeri di Amerika Syarikat (AS) meragut nyawa lebih 70 penduduk di Kentucky, selain meninggalkan kesan dahsyat – rumah dan perniagaan yang musnah di sepanjang laluan yang menjangkau lebih 220 batu, kata pegawai pada Sabtu.

Tornado yang berlaku di Kentucky semalam dilaporkan memecah rekod heretan terpanjang yang dicipta pada 18 Mac 1925 di Ellington, Missouri.

Pusaran dan heretan di Ellington itu kekal di atas tanah selama tiga jam setengah, bergerak merentasi tiga negeri dan dua sungai utama sepanjang 219 batu.

Ia adalah laluan berterusan terpanjang bagi mana-mana rekod puting beliung dalam sejarah, menurut Guinness Book of World Records.

Tetapi gelarannya hilang pada malam Jumaat lalu, apabila puting beliung baharu mendarat di timur laut Arkansas dan kekal melakukan heretan di atas tanah sepanjang 223 batu sebelum kembali ke udara di daerah Breckinridge, Kentucky, kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear.

Berpuluh-puluh orang dikhuatiri maut di sebuah kilang lilin di barat Kentucky di mana kira-kira 110 orang sedang bekerja apabila ternado terkuat melanda industri itu lewat Jumaat, menyebabkan bumbung runtuh.

Beshear berkata 40 daripada 110 pekerja telah diselamatkan dari kilangitu setakat ini.

“Tahap kemusnahan tidak seperti apa-apa yang pernah saya lihat,” kata Beshear mengenai kerosakan yang disebabkan puting beliung yang bergerak dengan kelajuan lebih 365 kilometer sejam merentasi negeri Kentucky.

“Kira-kira jam 5 pagi ini, kami agak pasti bahawa kami akan kehilangan lebih 50 penduduk Kentucky. Saya kini pasti jumlahnya mencapai 70 orang dan mungkin mencecah lebih 100 orang,” katanya.

Beshear berkata 189 Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan untuk membantu, dengan tumpuan diberikan di Mayfield, sebuah bandar kecil dengan kira-kira 10,000 orang di barat daya Kentucky di mana ia bersempadan dengan Illinois, Missouri dan Arkansas.

Balai bomba dan polis di Mayfield telah musnah, menghalang langkah kecemasan. Mayfield juga menempatkan kilang lilin, yang runtuh sejurus selepas pekerja mendengar bunyi kuat dan lampu mula berkelip.

Puting beliung itu berlaku susulan satu siri ribut petir semalaman, termasuk ribut terkuat yang terbentuk di timur laut Arkansas. Ribut itu bergerak dari Arkansas dan Missouri ke Tennessee dan Kentucky.

Malangnya ia menghasilkan beberapa puting beliung maut di sepanjang laluannya. Salah satu daripadanya mungkin puting beliung terpanjang,” kata ahli meteorologi Pusat Ramalan Ribut, Roger Edward. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR