Tokyo rekod kes baharu tertinggi jangkitan Covid-19 melebihi 4,000

Penganjur Sukan Olimpik 2020, Tokyo, hari ini melaporkan jangkitan baharu Covid-19 tertinggi buat kali pertama melepasi angka 4,000, sekali gus membayangi acara sukan musim panas yang sedang berlangsung.

Stesen penyiaran NHK melaporkan 4,058 jangkitan baharu di kota metropolitan itu, melonjak berbanding 3,865 kes yang direkodkan semalam.

Sementara bagi keseluruhan jangkitan di negara Matahari Terbit itu berjumlah 12,341 kes, juga tertinggi bagi Jepun.

Rekod baharu itu muncul sehari selepas Jepun memutuskan untuk memperluaskan lagi perintah darurat ke tiga wilayah berhampiran Tokyo dan di barat wilayah Osaka, sehingga akhir Ogos, susulan lonjakan jangkitan Covid-19.

Peraturan-peraturan darurat dan sekatan akan kekal selepas Olimpik dan Paralimpik yang akan bermula pada 24 Ogos.

Sementara itu, pegawai memberi amaran jumlah jangkitan Covid-19 di Tokyo bakal mencecah lebih 4,500 kes sehari dalam tempoh dua minggu lagi.

Penasihat tertinggi kerajaan berkaitan Covid-19 juga memberi amaran sistem kesihatan bakal menerima tekanan susulan peningkatan jumlah jangkitan serta penularan varian Delta.

Kerajaan Jepun kini bergantung pada kerjasama penduduk untuk mematuhi peraturan dan protokol kesihatan kerana perintah berkurung tidak pernah dilaksanakan di Jepun sejak awal wabak itu tahun lalu.

Pegawai kerajaan juga berulang kali menasihatkan penduduk supaya duduk di rumah dan menonton acara sukan itu menerusi televisyen. Sebagai tambahan, golongan muda di negara itu turut digesa mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, setelah kebanyakan individu berusia 65 ke atas telah selesai divaksin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR