
Penumpang yang memakai pelitup muka berjalan di stesen kereta api di Tokyo pada hari Rabu. Ibu negara itu hari ini melaporkan jangkitan Covid-19 melebihi 3,000 individu. - Gambar AFP
Tokyo, penganjur Sukan Olimpik 2020, hari ini mencipta rekod tersendiri dan terburuk sepanjang penularan wabak Covid-19 sejak Mac tahun lalu, apabila mencatatkan jangkitan harian tertinggi melebihi 3,000 kes, dua hari berturut-turut.
Media melaporkan, lonjakan jangkitan hari ini sebanyak 3,177 kes memberi tekanan kepada pihak hospital untuk menyediakan fasiliti rawatan yang mencukupi bagi pesakit.
Menganjurkan sukan itu sejak minggu lepas, Tokyo merekodkan 2,848 jangkitan harian semalam. Bandar metropolitan itu merekodkan 1,832 seminggu lalu.
Lonjakan mendadak kes Covid-19 itu memberikan kesan kepada semangat domestik rakyatnya ketika temasya sukan dunia itu berlangsung tanpa kehadiran penonton walaupun terdapat banyak atlet Jepun yang memenangi pingat.
Selain itu, rekod terburuk di Jepun ini juga menimbulkan masalah kepada kepemimpinan Perdana Menteri Yoshihide Suga apabila kepercayaan rakyat untuk menyokongnya semakin berkurang menjelang pilihan raya umum tahun ini.
Gabenor untuk tiga wilayah di Tokyo mendesak kerajaan mengisytiharkan darurat susulan lonjakan jangkitan harian baharu sebanyak 2,848 kes.
Menteri Ekonomi Jepun Yasutoshi Nishimura yang menjadi Menteri Penyelaras Tindak Balas Covid-19 Jepun memaklumkan kepada jawatankuasa Parlimen bahawa kerajaan akan mengumumkan sama ada untuk melaksanakan darurat atau tidak selewat-lewatnya esok, 29 Julai 2021.
Katanya, kes jangkitan harian Covid-19 dijangka akan meningkat dengan lebih tinggi dalam beberapa hari akan datang kerana hasil ujian saringan yang dilakukan semasa cuti minggu lalu.
Gabenor wilayah Kanagawa Yuji Kuroiwa berpendapat bandar raya itu telah memasuki fasa kenaikan kes yang naik mendadak dan paling membimbangkan.
Tokyo sebelum ini telah melalui keadaan darurat sebanyak empat kali dan ia akan dilaksanakan sepanjang sukan Olimpik ini, sementara tiga wilayah melonggarkan beberapa sekatan.
Sejak 1 Julai lalu, penganjur Olimpik melaporkan sebanyak 169 kes Covid-19 membabitkan kalangan peserta temasya Olimpik dan semalam, 16 kes baharu telah dilaporkan.
Namun begitu, peraturan ketat telah dikenakan termasuk ujian saringan yang kerap kepada semua atlet, kakitangan dan media untuk mencegah penyebaran virus Covid-19. – Agensi