Timbalan Gabenor isytihar Jakarta bebas Covid-19

Timbalan Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria mengisytiharkan ibu negara Indonesia itu sebagai zon bebas Covid-19 – zon hijau – berikutan penurunan jumlah kes jangkitan dan peningkatan program vaksinasi.

“Alhamdulilah, Jakarta sudah memasuki zon hijau dan telah mencapai tahap imuniti kelompok.

“Namun, saya menyeru orang ramai supaya kekal berdisplin dalam mengikut peraturan kesihatan yang ditetapkan,” katanya ketika meninjau program vaksinasi di Masjid Besar A-Azhar Jakarta Selatan.

Walaupun Jakarta sudah diisytihar sebagai zon hijau, masyarakat tetap harus konsisten dalam menerapkan protokol kesihatan yang ketat untuk mencegah semula peningkatan jumlah kes Covid-19, katanya.

Sementara itu, bagi penduduk yang masih belum divaksin, mereka dinasihatkan segera mendapatkan suntikan di pusat vaksinasi terdekat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya, pentadbiran di wilayah Jakarta sedang berusaha untuk meningkatkan sasaran vaksinasi di republik itu menjadi 11 juta penduduk daripada 8.8 juta pada awalnya, dan menyediakan 40 peratus daripada suntikan kepada penduduk bukan warganegara yang tinggal di ibu negara itu.

Sasaran ini diharapkan dapat dicapai dalam tempoh beberapa minggu akan datang, katanya.

Menurut data corona.jakarta.go.id semalam, sehingga jam 1 tengah hari waktu Indonesia, terdapat 8,764 kes aktif yang dilaporkan di ibu kota itu, turun daripada 44 kes berbanding kelmarin.

Angka tersebut dijangka akan terus menurun dan kegiatan rakyatnya di ibu kota akan pulih seperti biasa tidak lama lagi.

“Terus kekal duduk di rumah. Tetap berdisplin dan patuhi sekatan pergerakan Tahap 4 ini dengan penuh rasa bertanggungjawab. Jadikan peraturan kesihatan ini sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian kita,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR