
Perkhidmatan tren Tebrau Shuttle antara Johor Bahru ke Woodlands di Singapura akan disambung semula mulai 19 Jun 2022.
Tiket untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Johor Bahru (JB) ke Woodlands di Singapura, pada waktu puncak, telah habis dijual.
Perkhidmatan tren yang dikenali sebagai Tebrau Shuttle itu akan disambung sembula mulai 19 Jun setelah digantung selama dua tahun, susulan pandemik Covid-19.
Laman web tiket KTM menunjukkan tiket JB Sentral-Woodlands telah habis dijual untuk perjalanan selepas jam 11.30 pagi Ahad – hari pertama perkhidmatan itu beroperasi semula – menurut laporan CNA.
Majoriti slot petang dan malam untuk setiap Ahad menjelang pertengahan Julai juga telah ditempah sepenuhnya.
Keadaan ini juga berlaku pada Isnin, 11 Julai, iaitu sehari selepas cuti umum Hari Raya Haji di kedua-dua belah Tambak.
Tiket juga terhad atau tidak tersedia untuk beberapa perkhidmatan Tebrau Shuttle pada awal pagi Isnin dari JB Sentral ke Woodlands.
Sementara itu, tiket bagi perjalanan Woodlands-JB Sentral, tidak tersedia pada petang Jumaat dan pagi Sabtu.
Tiket biasanya tersedia untuk kebanyakan masa dan hari bukan puncak lain, dengan pengembara pada masa ini boleh menempah perjalanan antara 19 Jun dan 18 Jul.