Tiga vaksin Covid-19 buatan Thailand tunjuk hasil memberangsangkan

Vaksin buatan Thailand masih pada peringkat ujian.

Tiga vaksin Covid-19 yang dihasilkan di Thailand termasuk satu menggunakan messenger RNA (mRNA) dijangka dapat digunakan bermula tahun hadapan.

Menerusi Facebook Kerajaan di laman Thai Khu Fah melaporkan ketiga-tiga ujian ke atas vaksin buatan tempatan itu telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Vaksin tersebut ialah CU-Cov19 (mRNA) yang dihasilkan oleh Universiti Chulalongkorn dan Universiti Pennsylvania.

Manakala, vaksin HXP-GPO Vac dihasilkan oleh Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan, Universiti Mahidol dan Program for Appropriate Technology in Health (PATH) Amerika Syarikat.

Vaksin ketiga ialah vaksin Baiya SARS-CoV-2 VAX1 (vaksin subunit berasaskan tumbuhan) yang dihasilkan oleh Baiya Phytopharm Co., Ltd dan Universiti Chulalongkorn.

Hari ini, Thailand telah menandatangani kontrak untuk menerima vaksin tambahan iaitu sebanyak 20 juta dos Pfizer-BioNTech.

Dalam satu kenyataan, Pfizer dan BioNTech berkata vaksin mRNA itu dijangka akan tiba pada bulan September hingga Disember tahun ini.

Pengurus Pfizer (Thailand) Ltd. dan Indochina, Deborah Seifert yakin dengan komitmen bersama bagi membendung jangkitan virus Covid-19 di Thailand.

Di Thailand, terdapat enam vaksin Covid-19 yang telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) iaitu Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Moderna, Sinopharm dan Pfizer-BioNTec.

Namun, negara itu masih belum menggunakan vaksin mRNA dan hanya tiga vaksin yang digunakan secara meluas iaitu Sinovac, Sinopharm dan AstraZeneca.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand telah mencatatkan 11,305 kes jangkitan baharu dan 80 kes kematian melibatkan Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan iaitu sebanyak 426,475 kes dan kes kematian iaitu seramai 3,502.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan kes baharu yang dilaporkan adalah melibatkan penularan tempatan iaitu sebanyak 11,291 kes, 2,097 kes melalui pengesanan kes aktif, 595 kes bagi tahanan banduan dan 14 kes melibatkan kes import.

Menurut CCSA, kes kematian terbaru yang dilaporkan pula terdiri daripada 43 wanita dan 37 lelaki yang berusia antara 14 hingga 94 tahun termasuk dua warga Myanmar dan seorang rakyat Laos dan Perancis.

Bangkok menduduki tempat pertama bagi kes jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 2,764 kes jangkitan baharu dan 41 kes kematian. – Agensi

POPULAR