
Polis menyiasat tempat nahas sebuah trak merempuh pesta jalanan di selatan Belanda pada Sabtu (28 Ogos) yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga penduduk maut. - Gambar Twitter
Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah trak terbabas dan merempuh orang ramai di sebuah pesta jalanan di bandar Nieuw Beijerland di selatan Belanda, pada Sabtu (28 Ogos).
Polis yang tidak memberikan angka khusus bagi mangsa yang terkorban berkata, mereka sedang menyiasat kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu, di kawasan yang terletak kira-kira 30 kilometer ke selatan Rotterdam.
“Pada satu ketika sebuah trak terbabas dari jalan dan merempuh parti itu,” kata jurucakap polis Elianne Mastwijk kepada penyiar tempatan Rijnmond.
Tidak jelas apa yang menyebabkan kejadian itu, kata Mastwijk, atau jumlah tepat individu yang terbunuh atau cedera kerana trak itu masih belum dialihkan dari lokasi.
Gambar yang diterbitkan oleh Rijnmond dan laman web media tempatan yang lain menunjukkan sebuah trak dari syarikat pengangkutan Sepanyol berada di bahagian bawah benteng kecil, di tengah-tengah meja pesta yang rosak.
“Siasatan penuh sedang dijalankan. Ketika nahas berlaku, terdapat pesta jalanan dianjurkan penduduk dengan kehadiran yang ramai,” kata polis tempatan menerusi Twitter.
Pemandu trak itu telah dibawa untuk disoal siasat. Trak yang dipandunya mempunyai nombor pendaftaran Sepanyol, menurut De Telegraaf.