Tiga hari tempoh kuarantin rakyat asing di Indonesia

Pemerintah Republik Indonesia bersetuju memendekkan tempoh kuarantin wajib bagi pelancong antarabangsa yang ingin memasuki republik itu kepada tiga hari berbanding lima hari sebelum ini.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata peraturan itu juga terpakai kepada rakyat Indonesia yang kembali dari luar negara.

“Peraturan itu akan diguna pakai kepada pelancong antarabangsa yang memenuhi syarat kemasukan, dengan lengkap divaksin dan negatif ujian saringan Covid-19 berdasarkan keputusan ujian PCR (ujian Tindak Balas Berantai Polimerase) sebanyak tiga kali iaitu sebelum bertolak, selepas tiba di Indonesia dan pada hari terakhir kuarantin,” jelas Hartarto dalam satu kenyataan akhbar.

Selain itu, pelancong domestik lengkap divaksin juga perlu menunjukkan keputusan negatif ujian swab antigen RTK atau ujian PCR bagi mereka yang menerima satu dos vaksin Covid-19.

Hartarto memaklumkan situasi pandemik Covid-19 di Indonesia masih terkawal kerana angka kes jangkitan semakin menunjukkan trend penurunan.

Sementara itu, Isnin lalu, Menteri Pelancongan Indonesia, Sandiaga Uno turut memaklumkan Indonesia merancang penubuhan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) dengan Australia.

Sehingga kini, pelancong dari 19 buah negara sudah dibenarkan melawat Bali termasuk China, Perancis, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu.

Indonesia kini berada dalam fasa untuk memulihkan sektor ekonominya, disamping turut mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya terjadi jangkitan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang mungkin berlaku ketika musim cuti Krismas dan Tahun Baru. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR