Tiada bukti serangan Omicron kurang teruk dari Delta: Kajian UK

Laporan baharu pasukan tindak balas Covid-19 Imperial College  menganggarkan bahawa individu yang sembuh daripada Covid-19 berisiko dijangkiti oleh varian Omicron adalah 5.4 kali lebih tinggi berbanding varian Delta.

Penemuan itu menunjukkan bahawa perlindungan daripada jangkitan semula varian Omicron mungkin serendah 19 peratus, lapor pasukan itu yang melakukan kajian terhadap varian baharu berkenaan di England.

Secara kasarnya ia adalah sejajar dengan pemberian dua dos vaksin, yang dianggarkan oleh pasukan itu sebanyak 20 peratus berkesan terhadap Omicron.

Namun dengan menambah dos penggalak ia didapati memberi perlindungan yang dianggar sekitar 55 peratus hingga 80 peratus bagi kes bergejala.

Pasukan itu menggunakan data daripada Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) untuk semua kes virus SARS-CoV-2 yang disahkan menerusi ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) di England yang telah mengambil ujian Covid-19 antara 29 November dan 11 Disember 2021.

Kajian itu dilakukan termasuk ke atas individu yang dikenal pasti dijangkiti Omicron akibat kegagalan Gen S (SGTF), serta mereka yang mempunyai data genotip yang disahkan dijangkiti Omicron.

Keseluruhannya, 196,463 individu tanpa kegagalan Gen S (kemungkinan dijangkiti dengan varian lain) dan 11,329 kes (kemungkinan dijangkiti Omicron) telah dimasukkan dalam analisis SGTF, selain 122,063 varian Delta dan 1,846 kes Omicron dalam analisis genotip.

Hasilnya adalah selaras dengan gambaran yang muncul mengenai kapasiti varian itu untuk mengelakkan perlindungan daripada jangkitan atau inokulasi sebelumnya dan merebak lebih cepat daripada varian sebelumnya.

Berdasarkan nisbah individu yang diuji positif dan mempunyai simptom atau mendapatkan rawatan di hospital, kajian juga mendapati tiada bukti bahawa jangkitan Omicron tidak memberi kesan teruk berbanding Delta, kata pasukan itu.

Tetapi, betapa teruknya jangkitan Omicron masih tidak jelas, kata pasukan pasukan Imperial College London itu.

Bagaimanapun, negara-negara di Eropah kini sedang bersiap sedia untuk gelombang kelima jangkitan yang dipacu Omicron walaupun unit rawatan rapi di banyak kawasan masih dipenuhi pesakit yang dijangkiti varian Delta.

Sesetengah kerajaan sudah pun mengenakan langkah baharu dalam usaha memperlahankan gelombang Omicron.

Jumlah pesakit Omicron jika dibandingkan dengan semua kes Covid-19 yang lain, mungkin dua kali ganda setiap dua hari, sambil pasukan itu menganggarkan setiap individu yang dijangkiti varian Omicron menyebarkannya kepada lebih daripada tiga individu lain. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR