Thailand wujudkan ‘hospitel’ bantu proses pemulihan pesakit Covid-19

Thailand mencipta ‘hospitel’ bertemakan ‘family healing’ khas kepada pesakit Covid-19 untuk memastikan mereka mendapat rawatan yang selesa di sisi keluarga bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Baru-baru ini, kes jangkitan Covid-19 sudah melonjak di empat wilayah selatan negara itu, iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla mengakibatkan kekurangan katil di hospital.

Hospital Siroros di Pattani dengan kerjasama Hotel Park Intown dan Hotel Rainbow Mansion sudah membina ‘hospitel’ dan dijadikan hotel sementara untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat sekiranya satu keluarga dijangkiti Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Hospital Siroros, Dr Abdul Qadir Yusuf memaklumkan, ‘hospitel’ bertemakan penjagaan ‘family care’ dan ‘family healing’ ini mendapat sokongan yang memberangsangkan apabila pesakit dari satu keluarga ditempatkan dalam satu bilik khas dan mereka dapat memantau dan menjaga antara satu sama lain.

“Bilik khas untuk satu keluarga ini memudahkan pemantauan dan pada masa dapat memberikan satu suasana yang lebih selesa kepada pesakit untuk menerima rawatan.

“Selain itu, sekiranya pesakit di kuarantin bersama satu keluarga, ia akan menjadi penguat semangat untuk melawan jangkitan itu. Kedua-dua konsep yang dilaksanakan ini dapat mempercepatkan proses pemulihan pesakit untuk sembuh,” katanya.

Sementara itu, pihak hospital juga turut memberi pelepasan kepada dua ahli keluarga yang positif Covid-19 untuk menjaga pesakit kategori 4 dan 5.

Konsep ini sudah diperkenalkan sejak bulan Jun lalu dan ia mendapat sokongan yang positif dari semua kalangan pesakit dan ahli keluarga.

Kini, Hospital Siroros dengan kerjasama pihak hotel terlibat sudah mewujudkan lebih tiga buah ‘hospitel’ dengan dua di Pattani dan satu lagi di Narathiwat.

Hospital Siroros akan menambah lagi tiga ‘hospitel’ dalam tempoh terdekat iaitu di Betong, Yala, Songkhla dan Sg, Kolok, Narathiwat.

Pesakit Covid-19, Hama Chekteh, 62 bersama isteri dan tiga anaknya sudah menerima rawatan di Hospital Siroros, Yala.

Hama yang terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, melahirkan ucapan syukur apabila dapat bersama ahli keluarganya ketika proses kuarantin dan itu menjadi sebab utama kepada proses pemulihannya.

“Di saat menerima rawatan di ‘hospitel’ khas, anak-anak sentiasa memeriksa suhu badan dan tahap oksigen saya. Mereka terus memberi kata-kata semangat dan perasaan gelisah serta risau saya terus hilang,” jelasnya.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 10,064 kes baharu Covid-19 dan 82 kematian akibat jangkitan Covid-19.

Angka kumulatif kes di Thailand sudah mencecah lebih 1,740,428 dengan 17,917 korban sejak Mac tahun lalu.

Hotel Rainbow Mansion di Pattani, Selatan Thailand turut bersama Hospital Siroros mewujudkan ‘hospitel’ untuk pesakit Covid-19 menjalani kuarantin bersama keluarga.

BERITA BERKAIT
POPULAR