
Polis memeriksa bahagian luar pusat tahanan imigresen di Songkhla, selatan Thailand, pada 21 November 2017. - Gambar fail AFP
Thailand menafikan merancang menghantar pulang etnik Uygur Muslim ke China, selepas aktivis menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan keras baharu terhadap pencari suaka.
Terdahulu, berpuluh-puluh individu etnik Uygur ditangkap di seluruh negara pada Rabu (27 Julai) dan ditahan di pusat tahanan di ibu kota Bangkok, menyebabkan bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia yang bimbang kerajaan sedang bersiap untuk menghantar tahanan pulang ke China.
“Tindakan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rangkaian masyarakat sivil yang memantau situasi Uygur bahawa kerajaan Thailand akan memaksa etnik Uygur pulang ke negara asal mereka atas permintaan kerajaan China,” kata Majlis Islam Thailand dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam kenyataan.
Keputusan untuk memindahkan pelarian itu ke Bangkok dibuat selepas tiga lelaki Uygur melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di tengah Thailand awal bulan ini, kata Pengarah Yayasan Pemerkasaan Rakyat, Chalida Tajaroensuk – sebuah NGO Thai yang membantu Uygur di negara itu.
“Sumber kami memberitahu bahawa etnik Uygur yang ditempatkan dari pusat tahanan berbeza di seluruh negara sebelum ini, kini ditahan bersama di Pusat Tahanan Imigresen Suan Plu.
“Kami bimbang mereka boleh dihantar balik di bawah tekanan China. Setakat ini, mereka masih di sini, setakat yang kami tahu,” kata Chalida memetik laporan BeritaBenar.
Chalida juga menggesa kerajaan membenarkan pegawai hak asasi manusia melawat tahanan dan memantau kesihatan mereka.
Beliau mendedahkan bahawa kira-kira 56 individu etnik Uygur berada dalam keadaan tidak menentu selepas memasuki Thailand secara haram dari wilayah autonomi Uygur, Xinjiang di barat laut China pada 2014.
Ketua Penasihat Keselamatan Perdana Menteri Thailand, Panitan Wattanayagorn berkata etnik Uygur dikumpul di pusat tahanan itu atas alasan keselamatan.
Tetapi beliau tetap tidak pasti sama ada mereka akan dihantar pulang ke China.
“Untuk gambaran keseluruhan yang luas bagi menyelesaikan masalah, kita boleh mengatakan bahawa mereka melarikan diri daripada kematian untuk tinggal bersama kita. Kami perlu mengendalikannya mengikut piawaian dan kewajipan antarabangsa,” katanya kepada BeritaBenar.
“Kami tidak akan melanggar hak asasi mereka. Iaitu tiada pemisahan keluarga. Tetapi masalahnya lebih berbelit daripada itu, dan kami cuba menyelesaikannya sedikit demi sedikit.”
Majlis Islam dan NGO berkata Thailand harus mengelak berulangnya kontroversi pada 2015 apabila ia menghantar pulang lebih 100 Uygur ke China.
Negara Asia Tenggara itu tidak memberikan suaka kepada pelarian tetapi berkata orang Uygur boleh kekal dalam tahanan sehingga kerakyatan mereka ditetapkan.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan aktivis hak asasi manusia berkata sekurang-kurangnya satu juta Uygur dan Muslim lain ditahan di kem tahanan di Xinjiang, manakala China menyifatkan ianya adalah pusat latihan yang digunakan untuk membantu menghapuskan ekstremisme dan mengajar kemahiran baharu. – Agensi