Thailand rekod kes kematian tertinggi akibat Covid-19

Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini memaklumkan negara itu memecah rekod tertinggi bagi kes kematian harian akibat Covid-19 sejak Mac tahun lalu iaitu 235 kes, menjadikan 6,588 kes terkumpul.

Thailand juga telah mencatatkan 19,843 jangkitan harian dengan jumlah kes naik kepada 795,951. Dalam tempoh 24 jam lalu seramai 22,806 pesakit dilaporkan sembuh.

Sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda Thailand pada 1 April lalu, negara itu telah mencatatkan 767,088 kes jangkitan Covid-19 dan 550,714 kes sembuh dan 6,494 kes kematian yang dilaporkan.

Kali terakhir Thailand melaporkan kes kematian harian tertinggi adalah pada Sabtu lalu membabitkan 212 pesakit, manakala jumlah tertinggi dicatatkan pada hari sama sebanyak 21,838 kes.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menaikkan amaran Covid-19 terhadap Thailand ke Tahap 4, tertinggi dalam skala amaran agensi itu, dan menggesa rakyatnya untuk tidak melawat negara berkenaan.

CDC berkata tahap Covid-19 di negara tersebut berada pada paras tertinggi dan sudah mula menular ke seluruh dunia.

“Peningkatan kes yang tinggi di Thailand juga dapat memberikan risiko kepada pelancong untuk dijangkiti walaupun telah divaksin sepenuhnya kerana varian Delta dapat tersebar dengan cepat,” jelas CDC di laman webnya.

Pada masa sama CDC turut mengeluarkan amaran Tahap 4 terhadap Israel, Perancis, Iceland, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta beberapa negara lain termasuk Aruba dan Polinesia Perancis kerana peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara tersebut.

Terdapat lebih 70 negara yang disenaraikan termasuk tiga negara di Asia Tenggara lain iaitu, Indonesia, Malaysia dan Myanmar.

Selain itu, CDC turut menaikkan peringkat amaran ke Tahap 3 bagi Austria, Croatia, El Salvador, Azerbaijan, Guam, Kenya dan Jamaica. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR